Kesatuan sekerja perlu peka, responsif perkembangan teknologi

Tuan Azman
Tuan Azman
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan sekerja perlu lebih peka dan responsif terhadap perubahan masa dan teknologi bagi memastikan pekerja lebih bersedia untuk berdepan cabaran dunia digital yang kian mencabar.

Pengerusi Gabungan Kesatuan Badan Berkanun Diasingkan Saraan Dan Bebas (GKSBBDSB), Tuan Azman Tuan Yaacob berkata, Kesatuan Sekerja juga perlu lebih aktif dalam menjalankan latihan kepada ahlinya bagi meningkatkan kualiti pekerja.

Menurutnya, ia bagi memanfaatkan sebaiknya peruntukan RM10 juta bagi pelaksanaan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) untuk tahun 2025 yang diumumkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong pada Isnin.

"Kami juga gembira dengan pengumuman kenaikan had geran latihan dari RM20,000 kepada RM30,000 memandangkan Kesatuan Sekerja memang aktif menjalankan pelbagai latihan kepada ahli.

"Usaha ini bagi memastikan Kesatuan Sekerja lebih efisien dan berpendidikan untuk menghadapi cabaran-cabaran masa kini di era digitalisasi dan tanpa sempadan.

"Gabungan Kesatuan BBDSB perlu mengambil peluang untuk bersama-sama meningkatkan kecekapan dan kemahiran digitalisasi untuk terus relevan dan kekal di persada dunia tanpa sempadan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Steven Sim ketika pertemuannya dengan ahli GKSBBDSB pada Isnin mengumumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi pelaksanaan PHEKS untuk tahun 2025.

PHEKS yang dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), merupakan inisiatif untuk menyokong kesatuan sekerja melalui program Latihan dan Program Pendidikan, Kajian Pergerakan Kesatuan Sekerja, Penulisan Ilmiah dan Pembelian Peralatan Teknologi Maklumat.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun ini juga, turut diperkenalkan satu kluster baharu iaitu Pendigitalan Rekod Pengurusan Kesatuan Sekerja yang akan membawa banyak manfaat dalam memudahkan pentadbiran Kesatuan Sekerja mengikut persekitaran semasa.

Objektif utama pelaksanaan PHEKS Tahun 2025 ini adalah untuk menyokong dan memperkasa pergerakan kesatuan sekerja melalui peningkatan latihan kemahiran serta pengadaptasian penggunaan teknologi.

Sehubungan itu, GKSBBDSB menyambut baik kenaikan peruntukan untuk PHEKSpada tahun ini, berbanding RM5.8 juta tahun lepas dan RM2.6 juta pada tahun2023, menjadikannya peruntukan tertinggi dalam sejarah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!