Pendekatan bebas tol tidak produktif, tidak wajar - Aktivis

SHAH ALAM - Pendekatan bebas tol bagi tempoh perjalanan balik kampung musim perayaan merupakan satu dasar yang tidak produktif dan tidak wajar.
Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin berkata, pelaksanaan inisiatif itu menjejaskan kemampanan pengangkutan, pengurusan trafik yang cekap dan menyumbang kepada kesesakan jalan raya teruk.
"Ia bukan sahaja melibatkan lebuh raya sahaja, malah jalan persekutuan atau negeri juga akan terkesan.
“Peningkatan jumlah lalu lintas yang tinggi di lebuh raya, akan menyebabkan kenderaan 'melimpah' ke jalan utama dan sekunder di mana ia sering kali menyebabkan keadaan lalu lintas merangkak teruk di bandar dan kawasan luar bandar atau kampung.
“Contoh yang jelas ialah perjalanan selama 24 jam dari Lembah Klang ke Kelantan yang meletihkan minda dan fizikal pemandu serta para penumpang. Bayangkan risiko tinggi keselamatan di jalan raya apabila pemandu lesu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Kerja Raya memaklumkan dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini termasuk bagi sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Bagaimanapun kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pemberian tol percuma itu mungkin akan dilaksanakan sekiranya terdapat pertimbangan lain dan ia akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Mengulas lanjut, Shahrim memaklumkan, pendekatan bebas tol bukan sahaja meningkatkan kesesakan lalu lintas dan mengakibatkan penggunaan bahan api yang lebih tinggi tetapi turut menyumbang kepada pencemaran udara akibat pelepasan karbon dioksida.
Ujarnya, kenderaan pengangkutan menyumbang lebih 70 peratus daripada pencemaran udara di kawasan bandar dan merupakan penyumbang kedua terbesar kepada jumlah pelepasan karbon dioksida di Malaysia iaitu sebanyak 21 peratus pada 2016.
Tambah beliau, Malaysia telah membuat ikrar ketika Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 (COP26) pada 2021 untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Tegasnya, demi kepentingan rakyat Malaysia secara amnya, RM540 juta wang pembayar cukai bagi tujuan hari bebas tol sejak tiga tahun lalu perlu disalurkan kepada rakyat menggunakan pelbagai mod pengangkutan awam darat.
“Dengan duit pembayar cukai tersebut, kerajaan boleh menggalakkan perkhidmatan bas ekspres atau bas sewa khas dan perkhidmatan rel melalui tawaran baucar tiket elektronik atau diskaun tambang.
"Saya mahu menggesa kerajaan persekutuan untuk menggunakan RM180 juta secara purata setahun untuk tujuan hari bebas tol kepada usaha menyelamatkan nyawa rakyat.
“Dalam situasi yang ideal dan sekiranya kerajaan persekutuan serius mahu melaksanakan subsidi bersasar, maka ia perlu disalurkan untuk penggunaan sasaran lancar pengangkutan awam antara negeri.
"Ia juga boleh dilaksanakan dengan menawarkan baucar kepada golongan yang memerlukan perjalanan yang selamat seperti kumpulan pengguna motosikal," ujarnya.
Menurut Shahrim, penunggang motosikal merupakan kumpulan yang sentiasa mencatatkan jumlah kematian jalan raya tertinggi ketika musim perayaan.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa RM180 juta setahun pula perlu disalurkan semasa musim perayaan untuk anak perantau pulang ke Sabah dan Sarawak.
"Begitu juga ke utara, selatan dan timur Semenanjung terutama untuk golongan berpendapatan rendah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
“Subsidi bersasar seperti yang kerajaan ingin laksanakan boleh diperluas untuk rakyat dengan menggunakan perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan perkhidmatan landasan berkembar utara-selatan yang dijangka siap tidak lama lagi.
"Ia merupakan situasi menang-menang yang boleh membantu negara jika kerajaan persekutuan tekad untuk laksana perkara bernas dan bukannya cenderung kepada keputusan popular apabila menggunakan wang pembayar cukai," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!