Perkukuh perkongsian risikan - Saifuddin

PUTRAJAYA - Malaysia menggesa nega-ranegara serantau memperkukuh perkongsian risikan demi mewujudkan zon perlindungan selamat di Asia Pasifik yang semakin berdepan ancaman keselamatan kompleks.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerjasama erat antara negara-negara ASEAN amat diperlukan bagi menjamin kestabilan keamanan serantau terutamanya ancaman yang memerlukan kerjasama di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, penting untuk memupuk keamanan dan keselamatan di tengah-tengah cabaran moden yang sering berlaku demi kesejahteraan rakyat.
“Malaysia mesti merancang dan melaksanakan langkah keselamatan lebih awal untuk memastikan tiada kelemahan berlaku.
“Perkongsian risikan antara rakan serantau juga penting untuk mewujudkan zon perlindungan yang selamat.
“Tidak mungkin ancaman keselamatan moden boleh kita selesaikan secara persendirian melainkan kita ada perkongsian risikan dan maklumat,” katanya dalam ucapan dasar di Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Selasa.

Beliau menegaskan ancaman jenayah rentas negara yang semakin meningkat merupakan antara isu penting perlu diberi perhatian.
Ia termasuk pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, perdagangan dadah haram, jenayah siber, lanun maritim, perdagangan sumber alam sekitar, senjata api dan barangan tiruan.
“Kegagalan untuk mengenal pasti dan menangani isu keselamatan telah menyebabkan keharmonian terganggu atau runtuhnya keamanan dan pembangunan sesebuah negara.
“Menurut laporan terbaru oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), penipuan siber telah menyebabkan kerugian kewangan di Asia Tenggara dianggarkan antara AS$18 bilion hingga AS$37 bilion pada tahun 2023,” katanya.
Lebih membimbangkan katanya, walaupun Asia Pasifik kekal sebagai rantau kedua paling aman di dunia, laporan Indeks Keamanan Global (GPI)2024 menunjukkan kemerosotan sebanyak 0.1 peratus dalam tahap keamanan serantau.
“Walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam domain keselamatan sosial dan keselamatan awam, domain militarisasi dan konflik berterusan mencatatkan penurunan ketara.
“Ini memberi isyarat kepada kita bahawa perlu ada tindakan kolektif untuk menangani ancaman ini,” katanya.
Malaysia garis strategi tangani ancaman keselamatan
Justeru, dalam usaha menangani ancaman keselamatan moden, Saifuddin berkata, Malaysia telah menandatangani MoU dengan UAE untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam memerangi jenayah, mencegah keganasan dan meningkatkan keselamatan awam.
“Namun AI juga membawa risiko baharu kerana penjenayah kini menggunakan teknologi ini untuk tujuan jahat.
“Oleh itu kita perlu mempercepatkan penggunaan AI untuk melawan jenayah dan memastikan ia menjadi perisai,” ujarnya.

Sehubungan itu tegas beliau, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada tahun ini adalah platform penting untuk membincangkan isu keselamatan, kerjasama penguatkuasaan undang-undang, dan perkongsian maklumat.
Jelas beliau, Malaysia menggariskan beberapa strategi menangani ancaman keselamatan moden berdasarkan prinsip Malaysia Madani, berlandaskan enam nilai utama iaitu kelestarian, kemakmuran, inovasi, hormat, kepercayaan dan belas kasihan.
“Malaysia sekali lagi menegaskan komitmen untuk menyeimbangkan langkah keselamatan dengan hak asasi manusia dan usaha membina keamanan,” katanya.
AISSE’25 anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) merupakan pemangkin kepada perkongsian strategik antara kerajaan dan industri dalam penyelesaian cabaran keselamatan.
Acara antarabangsa itu memberikan fokus kepada penyelesaian keselamatan dalam bidang seperti keselamatan siber, teknologi pemantauan canggih dan peralatan ketenteraan yang bukan sahaja memperkukuhkan keselamatan tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi.
INFO
AISSE’25 menjadi platform untuk membincangkan empat objektif penting yang selaras dengan visi ASEAN ke arah ketahanan dan kemakmuran iaitu:
- Membina industri yang lestari dan pembangunan global.
- Meningkatkan daya saing dan ketahanan melalui teknologi.
- Memupuk kerjasama serantau dalam bidang ICT dan keselamatan siber.
- Memperkuatkan sumbangan serta kerjasama global.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!