Penjagaan kesihatan guna AI tingkat kecekapan, kurangkan pembaziran - PM

Anwar bercakap pada sesi 'Country Strategy Dialogue' sempena Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, di Davos, Switzerland pada Selasa. Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan). Foto Bernama
Anwar bercakap pada sesi 'Country Strategy Dialogue' sempena Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, di Davos, Switzerland pada Selasa. Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan). Foto Bernama
A
A
A

DAVOS (Switzerland) - Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem penjagaan kesihatan bukan sahaja akan dapat meningkatkan kecekapan, malah ia juga dapat membantu mengurangkan pembaziran dari segi kos, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sejak menerajui kerajaan dua keutamaan beliau ialah pendidikan dan penjagaan kesihatan.

"Saya fikir ia adalah sangat tidak adil... dalam falsafah politik saya untuk menafikan sebahagian besar (rakyat) kemudahan kesihatan terbaik, dan sudah tentu infrastruktur asas di hospital dan AI memainkan peranan penting di dalamnya.

"Melalui AI, ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan menampilkan teknologi canggih, tetapi pada masa yang sama, ia mengurangkan pembaziran dari segi kos," katanya pada sesi "Country Strategy Dialogue" di luar Forum Ekonomi Dunia (WEF) Sidang Kemuncak Tahunan 2025, di sini.

Anwar berkata demikian semasa menjawab soalan seorang peserta dalam sesi yang dikendalikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz itu, berhubung pandangan beliau mengenai AI dan sistem kesihatan awam.

Sementara itu Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang turut hadir pada sesi itu berkata, bagi membolehkan AI berfungsi dengan baik dalam sistem penjagaan kesihatan, infrastruktur yang perlu mesti disediakan.

"Anda mempunyai banyak data, kebanyakannya masih dalam bentuk analog, dan anda perlu memikirkan cara untuk menjadikan ia digital secepat mungkin. Anda perlu mempunyai mekanisme yang membolehkan data itu dikongsi.

"Apabila anda mempunyai kemudahan AI, ia membolehkan kita mencari penyelesaian kepada masalah masa lepas, dan itu adalah langkah pertama. Akhirnya, ia adalah mengenai pembinaan ekosistem," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata di sinilah peranan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).

"Kami bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian, bermula dengan Kementerian Kesihatan. Kami libatkan pegawai daripada kementerian, termasuk menteri, untuk mengenal pasti dan mengutamakan bidang tumpuan utama.”

Pendekatan ini membolehkan kerajaan mengumpul pandangan dan memahami bidang tertentu yang memerlukan perhatian segera, memastikan usaha itu disasarkan dan berkesan.

Anwar kini dalam lawatan kerja tiga hari untuk menghadiri WEF 2025, yang pertama dihadirinya sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2022. - Bernama


______________________________________________________________

Dialong pragmatik, kolaborasi kunci utama kendali hubungan global kompleks - PM

DAVOS (Switzerland) - Dialog dan kolaborasi pragmatik adalah kunci utama dalam mengemudi hubungan antarabangsa yang kompleks, terutama dalam konteks penglibatan Malaysia dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata adalah penting bagi negara untuk melibatkan diri dengan berhati-hati dan konstruktif.

"Saya tidak berpeluang untuk bertemu dengan Presiden (Amerika Syarikat) Donald Trump, namun daripada apa yang saya dengar mengenai pengumuman-pengumuman yang dibuatnya, saya rasa beliau akan menjadi sangat pragmatik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi "Country Strategy Dialog” yang dikendalikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, di luar Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di sini, semasa dirujuk mengenai apa yang akan ditanya beliau sekiranya Presiden China Xi Jinping dan Presiden Trump bekongsi pentas yang sama.

Anwar bercakap pada sesi 'Country Strategy Dialogue' sempena Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, di Davos, Switzerland pada Selasa. Foto Bernama
Anwar bercakap pada sesi 'Country Strategy Dialogue' sempena Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, di Davos, Switzerland pada Selasa. Foto Bernama

Walaupun pengumuman-pengumuman yang dibuat Trump merujuk kepada kepentingan pengundinya dan Amerika Syarikat itu dilihat membimbangkan di tengah-tengah globalisasi, Anwar yang juga Menteri Kewangan percaya, bahawa Presiden Amerika itu pasti sedar dengan kepentingan untuk saling bergantung antara negara.

"Saya rasa beliau juga tahu mengenai kepentingan Amerika Syarikat, dengan saling bergantung antara negara, dan beliau perlu untuk melihat banyak kepentingan di luar, termasuk China,” katanya.

Mengenai beberapa penglibatan dengan Presiden Xi pula, Perdana Menteri berkata terdapat kesediaan untuk mempelajari dan melibatkan diri dalam banyak bidang, termasuk dalam apa yang disifatkan oleh Barat sebagai Laut China Selatan yang sangat dipertikaikan.

Anwar menyifatkan kedudukan Malaysia amat unik, sebagai sebuah negara maritim yang bersempadan dengan semua negara di ASEAN dan juga China.

"Kami juga ada isu yang belum selesai dengan Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, (tetapi) mengapakah meraka hanya bangkitkan masalah dengan China?

Kemudian mereka katakan, oh.. adakah anda defensif? Tidak, itu tidak benar. Saya hanya menyatakan fakta. Adakah terdapat masalah? Ya, ada masalah, tetapi masalahnya melibatkan wilayah. Adakah kita akan melancarkan perang disebabkannya - Tidak.”

Perdana Menteri berkata adalah penting untuk mendekati perkara ini bukan dengan cara yang defensif, tetapi dengan komitmen untuk berdialog.

Beliau berkata bagi tujuan itu, Malaysia telah proaktif dalam mencari penyelesaian secara kolaboratif.

"(Sebagai contoh) Kami masih mempunyai beberapa masalah dengan Thailand, yang diselesaikan dengan dua cara - satu melalui pihak berkuasa pembangunan bersama, dan satu lagi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bersama di selatan Thailand dan utara Semenanjung...maksud saya itu harus menjadi pendekatan kita.

"Saya fikir kita harus mengambil pendekatan yang sama dalam penglibatan dengan negara China, yang telah menjadi sahabat baik yang boleh dipercayai.

Sehubungan itu Anwar berkata Malaysia telah mengorak langkah besar dalam menampilkan diri sebagai rakan kongsi yang dipercayai dengan China, manakala Amerika Syarikat kekal sebagai rakan kongsi yang sama penting kerana secara kumulatif ia kekal sebagai pelabur terbesar di Malaysia.

Anwar juga menyuarakan keyakinan terhadap kerjasama masa depan, dan menggesa syarikat-syarikat Amerika untuk melabur lebih banyak di Malaysia.

"Jika gergasi teknologi seperti Intel boleh menubuhkan pusat kecemerlangan Pulau Pinang, tidak ada sebab pihak lain tidak boleh mengikut jejak langkahnya. Sebagai sebuah negara perdagangan, pendekatan Malaysia sentiasa pragmatik,” katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah negara yang sedang membangun, dengan ekonomi yang bergantung kepada perdagangan, Malaysia perlu bersahabat dengan banyak negara.

Anwar seterusnya mengulangi potensi ASEAN sebagai model untuk perpaduan dan kerjasama di tengah-tengah ketegangan global semasa, dengan mengetengahkan masyarakat berbilang budaya Malaysia yang unik, dan komitmen untuk memupuk keamanan.

Mengenai peranan Jepun dalam ASEAN, Anwar berkata Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba yang melakukan lawatan rasmi ke Malaysia baru-baru ini menyerlahkan kepentingan yang diletakkan oleh Jepun terhadap potensi ASEAN.

Ia merupakan lawatan pertama Ishiba ke Malaysia sejak pelantikannya sebagai Perdana Menteri Jepun pada Oktober 2024.

Anwar kini dalam lawatan kerja tiga hari untuk menghadiri WEF 2025, yang pertama dihadirinya sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!