'Letupan kilang mungkin berpunca reaksi bahan kimia' - Polis

KLANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam keterangan pemilik kilang memproses bahan kimia yang meletup dalam satu kejadian di kawasan Taman Perindustrian Kapar Indah, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati kilang tersebut mempunyai tujuh pekerja termasuk empat warga asing yang mempunyai dokumen lengkap.
Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan, namun tidak menolak kemungkinan disebabkan reaksi antara bahan kimia yang ada di kilang itu.
"Pemilik kilang telah dipanggil dan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk dirakam keterangan.
"Ketika ini, kita buka siasatan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) dan sekiranya terdapat kecuaian dalam aspek jenayah dan sebagainya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan," katanya pada Selasa.
Kata beliau, beberapa sampel bahan kimia di lokasi kejadian telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, selepas mendapat keputusan daripada ujian sampel dilakukan, pihak bomba akan melakukan pembersihan kawasan supaya laluan itu boleh digunakan kembali oleh orang ramai.
Jelas beliau, lokasi kejadian ketika ini akan ditutup selama dua hari dengan kawalan 24 jam daripada pihak polis.
"Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kemudiannya akan mengambil alih dan berbincang dengan pengusaha kilang untuk tujuan penutupan sementara.
"Berdasarkan semakan, radius kawasan terjejas akibat letupan itu antara 100 hingga 150 meter," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan jumlah terkini mangsa terlibat seramai 33 orang dan 31 daripadanya dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), manakala dua lagi di hospital swasta.
Menurutnya, kesemua mangsa dirawat sebagai pesakit luar dengan gejala pedih mata dan sesak nafas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
