18 ADUN Sabah dirakam keterangan - Azam Baki

Azam
Azam
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah dirakam keterangan susulan dakwaan skandal rasuah berdasarkan klip video memaparkan perbualan yang disebarkan di sebuah portal berita sebelum ini.

Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan berkaitan kes ini telah selesai dan pegawai penyiasat terlibat telah menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan pegawai penyiasat supaya melengkapkan beberapa keterangan dan ia perlu disiapkan sebelum berakhirnya Januari ini.

"Insya-ALLAH, selewatnya dalam pertengahan Februari saya akan maklumkan perkembangan lanjut berkaitan kes ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar perkembangan kes-kes terkini yang disiasat SPRM di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Selasa.

Katanya, perkembangan terbaharu adalah seramai 18 ADUN Sabah telah dirakam keterangan bermula November 2024 sehingga awal Januari tahun ini.

"Siasatan berkaitan kes ini turut dijalankan pihak polis di Sabah dan SPRM bersama polis sentiasa bekerjasama dan saling bertukar maklumat dalam bagi siasatan berkaitan kes ini.

"Setakat ini SPRM membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan Azam mengesahkan seorang pemberi maklumat berkenaan kes klip video beberapa ADUN membincangkan rasuah telah berjumpa dengan pegawai suruhanjaya itu pada 30 Oktober lalu.

Ketika pertemuan itu, peguam kepada pemberi maklumat itu hanya memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat yang memperdengarkan beberapa orang sedang berbincang tentang wang.

Azam menggesa pemberi maklumat itu untuk membuat laporan rasmi dengan SPRM bagi memulakan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Undang-undang menyatakan apabila individu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, dia akan dilindungi oleh undang-undang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!