Ramai wanita warga emas tak buat saringan kanser serviks sebab malu, takut

Juwairiya (dua dari kanan) dan Noorzunita (tiga dari kiri) merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Sembilan 2025.
Juwairiya (dua dari kanan) dan Noorzunita (tiga dari kiri) merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Sembilan 2025.
A
A
A

SEREMBAN - Rasa malu dan takut menyebabkan kebanyakan wanita warga emas tidak mahu membuat saringan kanser serviks berbanding wanita muda.

Timbalan Pengerusi, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Juwairiya Zulkifli berkata, setiap wanita berusia 30 tahun ke atas sepatutnya membuat saringan sekurang-kurangnya lima tahun sekali.

"Warga emas ini kebanyakannya malu untuk buat saringan atau pemeriksaan berkenaan kanser serviks ini.

"Mereka ini juga takut sekiranya diberitahu ada kanser yang menyebabkan kehidupan dan emosi mereka akan terganggu," katanya ditemui pemberita selepas Program Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Selasa.

Menurutnya, dari tahun 2019 hingga 2024, seramai 9,835 wanita di Negeri Sembilan telah membuat saringan ujian Human Papillomavirus (HPV) DNA.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut seramai 614 kes adalah positif virus HPV DNA dan enam kes pra kanser dan satu kes kanser.

"Jadi penting untuk kita buat pemeriksaan awal supaya langkah-langkah pencegahan itu dapat diambil dan hari ini ia lebih mudah kerana wanita sendiri boleh mengambil sampel sendiri menggunakan kit disediakan," katanya.

Menurutnya, pada tahun 2025, kerajaan telah memperuntukkan 13.5 juta untuk Program Kesedaran Kanser dan usaha ini bagi memastikan akses kepada perkhidmatan saringan berkualiti dapat dinikmati golongan wanita.

Ujarnya, kanser serviks adalah penyakit yang berpunca daripada jangkitan HPV dan terdapat lebih daripada 100 jenis HPV, namun hanya sebahagian daripadanya yang berisiko tinggi menyebabkan kanser serviks.

Artikel Berkaitan:

"Secara amnya, wanita yang berisiko tinggi untuk menghidap kanser serviks adalah mereka yang berumur 30 tahun ke atas, terutamanya jika mereka mempunyai faktor risiko seperti jangkitan HPV yang berterusan.

"Di LPPKN, mereka yang berumur 30 ke 65 tahun layak melakukan pemeriksaan ujian HPV DNA percuma mengikut kriteria yang ditetapkan," katanya.

Jelas beliau, ujian ini tidak menyakitkan, kurang invasif dan lebih selesa, menjadikannya pilihan terbaik untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan wanita dalam menjaga kesihatan reproduktif mereka.

Terdahulu program berkenaan dirasmikan Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!