Bina Masjid Ibnu Batutah, hentian musafir

KUALA KRAI - [DIKEMAS KINI] Masjid Mukim Kecil Bandar Baru Kuala Krai atau Masjid Ibnu Batutah akan dibina di Mukim Kecil Bandar Baru Kuala Krai di sini memberi kemudahan kepada 1,100 jemaah selain sebagai perhentian musafir yang melalui Lebuhraya Kuala Krai - Gua Musang.
Pengerusi Masjid Ibnu Batutah, Dr Mohd Azmi Yaacob, berkata, masjid keluasan tapak 0.8 hektar itu akan menjadi tempat penduduk solat Jumaat dan fardu.
“Pembinaan Masjid Ibnu Batutah memerlukan dana lebih RM11.7 juta.
“Masjid ini juga akan menjadi hentian dan lokasi rehat serta rawat bagi pengguna Lebuhraya Kuala Krai - Gua Musang terutama musafir dalam perjalanan pergi atau pulang dari Kuala Lumpur,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, masjid dengan reka bentuk ala Timur Tengah berkenaan juga akan menjadi mercu tanda baharu di Kuala Krai.
Selain itu, pekarangan masjid juga akan dilengkapi kemudahan awam seperti taman rekreasi dan medan selera.
“Komponen binaan masjid termasuk bangunan utama menempatkan ruangan solat, pejabat, bilik mesyuarat, ruang jamuan, bilik pengurusan jenazah, tandas awam dan tandas orang kurang upaya (OKU).
“Juga akan dibina menara masjid, kedai runcit, gelanggang bola keranjang dan pondok rehat musafir,” katanya.
Tambah beliau, kemajuan pembinaan terkini masjid mencapai 15 peratus dan bagi yang ingin menyumbang boleh ke akaun Tetuan Masjid Mukim Kecil Bandar Baru Kuala Krai (Ibnu Batutah), Bank Islam Malaysia 03072010139591 atau hubungi 019-9076668 (Wan Helmi).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

