Seorang cedera, 13 selamat dalam nahas tujuh kenderaan

KUANTAN- Seorang lelaki cedera akibat tersepit manakala 13 yang lain selamat dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Cherating pada Selasa.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan dilaporkan kira-kira jam 10 pagi itu melibatkan sebuah treler, lori, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, tiga kereta Perodua Myvi dan sebuah Honda Jazz.
Menurutnya, susulan maklumat diterima, 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng ke lokasi untuk bantuan menyelamat mangsa terlibat.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, didapati tujuh kenderaan terlibat kemalangan dipercayai berlanggar secara sebaris dari arah belakang.
"Terdapat seorang mangsa lelaki yang cedera dan tersepit di dalam kereta Perodua Myvi manakala semua mangsa dalam kenderaan lain selamat dan tidak mengalami kecederaan," katanya.
Tambahnya, anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.
"Mangsa telah diserahkan kepada pihak kesihatan untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!