Empat cedera nahas sembilan kenderaan

Empat cedera dalam kemalangan melibatkan sembilan kenderaan di Jalan Senai-Seelong, pada pagi Khamis. Foto IPD Kulai
Empat cedera dalam kemalangan melibatkan sembilan kenderaan di Jalan Senai-Seelong, pada pagi Khamis. Foto IPD Kulai
A
A
A

KULAI - Empat cedera dalam kemalangan melibatkan sembilan kenderaan di Jalan Senai-Seelong, pada pagi Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner, Tan Seng Lee, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan tersebut pada jam 10.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 50 tahun hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun yang sedang berhenti.

"Perlanggaran itu menyebabkan kereta berkenaan terdorong ke hadapan dan menyebabkan lori tersebut turut melanggar enam kenderaan lain yang berada di laluannya.

"Lori berkenaan kemudiannya terbabas bersama sebuah kereta jenis Perodua Kenari dipandu lelaki warga tempatan berusia 42 tahun lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lagi lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Keadaan lori yang terbalik selepas terbabit dalam kemalangan. Foto IPD Kulai
Keadaan lori yang terbalik selepas terbabit dalam kemalangan. Foto IPD Kulai

Akibat kemalangan itu, tiga mangsa wanita dan seorang pemandu lori terbabit dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim bagi menerima rawatan manakala pemandu-pemandu lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 AKTA Pengangkutan Jalan (APJ).

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut boleh berhubung dengan Penolong Pegawai Penyiasat kes, Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Munisha Maju Anak Hamkah di talian 012-8245004 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!