Anak maut, bapa cedera nahas dua kenderaan

Keadaan lori terlibat dalam kemalangan tersebut. - Foto IPD Kota Tinggi
Keadaan lori terlibat dalam kemalangan tersebut. - Foto IPD Kota Tinggi
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang lelaki maut manakala bapanya cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di kilometer (KM) 61.7 Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi berhampiran Kolam Pancing Udang Harimau, Kolam Seluyut di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai nahas berkenaan sekitar jam 11.30 pagi melibatkan sebuah lori jenis Daihatsu dengan kenderaan utiliti sukan (SUV), jenis Perodua Ativa.

“Hasil siasatan, nahas dipercayai berlaku apabila lori jenis Daihatsu dipandu mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun bersama anak kandung lelaki berusia 23 tahun dari arah Kota Tinggi ke Sungai Rengit terbabas dan terjunam ke dalam gaung kerana cuba mengelak sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

“Ketika cuba mengelak, muatan batu dari lori jenis Daihatsu telah terpelanting mengenai kenderaan Perodua Bezza.

“Dalam kemalangan itu, penumpang lori jenis Daihatsu mengalami parah di kepala dan meninggal dunia tempat kejadian sementara bapanya, pemandu lori jenis Daihatsu mengalami bengkak di muka dan kepala dan pemandu SUV Perodua Ativa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat dirujuk ke unit forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.

Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian, boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Norhidayah Ab Kahari di talian 013-9219187.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!