ASEANAPOL tumpu hapus pusat panggilan penipuan, jenayah pemerdagangan manusia

ASEANAPOL akan memberi keutamaan kepada usaha menghapuskan pusat panggilan penipuan yang dikaitkan dengan jenayah pemerdagangan manusia. Gambar hiasan
ASEANAPOL akan memberi keutamaan kepada usaha menghapuskan pusat panggilan penipuan yang dikaitkan dengan jenayah pemerdagangan manusia. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis ASEAN (ASEANAPOL) akan memberi keutamaan kepada usaha menghapuskan pusat panggilan penipuan yang dikaitkan dengan jenayah pemerdagangan manusia dan aktiviti jenayah paksa sebagai sebahagian daripada pelan tindakan serantau tahun ini, kata Pengarah Perancangan dan Program Sekretariat ASEANAPOL, Leftenan Kolonel Kanan Polis Nguyen Huu Ngoc.

Bercakap kepada media di luar Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE) di sini pada Isnin, Nguyen berkata, Malaysia antara negara yang paling terkesan, dengan ramai mangsa diperdagangkan dan diseludup ke negara seperti Myanmar, Kemboja, Filipina, Vietnam, dan lain-lain.

"Pelan tindakan kami memberi fokus kepada mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai trend jenayah, mengenal pasti jurang dalam penguatkuasaan undang-undang, dan menangani keperluan latihan dalam kalangan 10 negara anggota ASEAN,” katanya yang juga berucap pada satu sesi sidang kemuncak itu bertajuk 'Teknologi Digital dan Jenayah Rentas Sempadan: Ancaman Baharu kepada Keselamatan Nasional di Rantau ASEAN'.

Nguyen berkata, ASEANAPOL sedang menyelaraskan inisiatif pembinaan kapasiti latihan dan menubuhkan pusat antipenipuan, di samping menyokong operasi polis bagi membanteras penipuan siber di Asia Tenggara, dengan Malaysia sebagai tumpuan utama.

Beliau mendedahkan satu inisiatif baharu menangani jenayah siber telah dikemukakan semasa Persidangan ASEANAPOL ke-42 di Myanmar pada Oktober 2024.

"Resolusi itu telah diterima pakai oleh Ketua Polis dari semua 10 negara anggota. Tahun ini, Sekretariat ASEANAPOL akan membangunkan pelan tindakan untuk melaksanakan resolusi berkenaan,” katanya, sambil menambah inisiatif itu melibatkan penyelarasan usaha bagi membongkar pusat panggilan penipuan serta menangani jenayah rentas sempadan yang sering dikaitkan dengan eksploitasi dan pemerdagangan manusia.

Nguyen mengakui cabaran dalam memupuk kerjasama antara negara anggota ASEAN, terutamanya dalam aspek perkongsian maklumat.

"Bagi mendapatkan gambaran penuh mengenai situasi jenayah, kami memerlukan sumbangan data daripada negara anggota. Namun, terdapat negara yang keberatan untuk menyediakan statistik atau maklumat mengenai sindiket jenayah. Kami menggalakkan ketelusan dan kerjasama yang lebih kukuh untuk memperkasakan usaha penguatkuasaan undang-undang di seluruh rantau ini,” katanya.

Walaupun menghadapi cabaran ini, Nguyen menegaskan kepentingan semangat konsensus ASEAN, dengan matlamat kolektif melindungi rakyat dan memastikan rantau ini selamat daripada jenayah siber.

Artikel Berkaitan:

Nguyen turut memaklumkan bahawa Malaysia, Singapura, dan Thailand telah mewujudkan model operasi yang kukuh di peringkat nasional untuk membanteras penipuan.

Namun, beliau berkata, cabaran timbul di peringkat antarabangsa apabila dana dipindahkan merentasi sempadan.

"Dalam kes sedemikian, ASEANAPOL menyelaraskan kerjasama dengan organisasi antarabangsa dan negara di luar rantau ini untuk mendapatkan semula aset dan dana yang telah dipindahkan secara haram,” katanya.

Beliau berharap negara anggota lain dapat mengadaptasi model antipenipuan yang serupa bagi memperkukuh usaha serantau membanteras jenayah siber dan jenayah rentas sempadan.

Nguyen mengulangi komitmen ASEANAPOL untuk memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara anggota bagi menangani landskap jenayah siber yang kian berkembang dan memastikan keselamatan rantau ini terpelihara.

Terdahulu dalam pembentangannya, Nguyen berkata, ASEANAPOL turut mengumpul dan menganalisis data situasi jenayah yang dilaporkan oleh negara-negara ini, memberi tumpuan kepada 10 bidang jenayah utama termasuk pemerdagangan manusia, jenayah hidupan liar, jenayah siber, penipuan rentas sempadan, dan lain-lain.

"Data yang dikumpul digunakan untuk menghasilkan laporan analisis yang memberikan gambaran mengenai trend jenayah di Asia Tenggara dan mengenal pasti jurang dalam keupayaan penguatkuasaan undang-undang dalam kalangan negara anggota.

"Maklumat ini juga membimbing kolaborasi kami dengan 12 rakan dialog dan 11 pemerhati di seluruh dunia bagi memperkukuh usaha keselamatan serantau,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penipuan siber muncul sebagai satu daripada ancaman paling kritikal di Asia Tenggara, sering dikaitkan dengan pemerdagangan manusia dan aktiviti jenayah paksa.

Lebih membimbangkan, hasil yang diperoleh daripada aktiviti haram seperti itu di sesetengah negara boleh mencecah sehingga 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka.

Satu laporan berita memaklumkan bahawa operasi penipuan dalam talian di Asia Tenggara semakin meningkat, dengan sindiket penipuan terancang menjana anggaran AS$64 bilion setiap tahun di peringkat global.

Di Kemboja, Laos dan Myanmar, rangkaian jenayah ini bertanggungjawab mencuri kira-kira AS$43.8 bilion setiap tahun melalui penipuan, yang menyumbang hampir 40 peratus daripada gabungan KDNK rasmi tiga negara terbabit. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!