Malaysia gesa tubuh pasukan jenayah siber ASEAN ala Interpol

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan pasukan berkenaan penting ekoran jenayah siber kekal sebagai ancaman keselamatan paling ketara.
“Sepanjang tahun lalu, Malaysia merekodkan kerugian kewangan lebih RM1.22 bilion akibat jenayah siber dan berjaya mengesan berjuta ancaman berkenaan.
“Secara tidak langsung ia mengukuhkan keperluan untuk mempertingkatkan daya tahan dan langkah keselamatan siber secara lebih proaktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Isnin.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, ancaman keselamatan seperti jenayah siber, keganasan dan jenayah rentas sempadan semakin canggih dan saling berkait.

Menurutnya, penjenayah siber kini mengaplikasikan kecerdasan buatan (AI), automasi dan dark web untuk melancarkan serangan yang memerlukan pihak berkuasa mencipta kesiapsiagaan baharu.
“Malaysia kekal komited untuk membina ekosistem keselamatan yang selamat, berdaya tahan dan saling bekerjasama, bukan sahaja untuk negara tetapi rantau ASEAN dan seterusnya.
"Dengan perkembangan ekonomi digital, ancaman siber yang menyasarkan perniagaan, kerajaan dan individu turut meningkat sekali gus kepantasan kemajuan teknologi memerlukan rangka kerja keselamatan lebih tangkas dan mudah diadaptasi," ujarnya.
Ahmad Zahid turut menekankan perkongsian keselamatan dalam kalangan negara ASEAN selain berperanan penting untuk mengekalkan kestabilan serantau.
Beliau berkata, Malaysia aktif menyumbang kepada perkongsian perisikan dan pembanterasan sindiket jenayah rentas sempadan melalui rangka kerja seperti AseanaPol dan Interpol.
"Kita mesti mengukuhkan perkongsian ini untuk memastikan rangkaian perisikan terus berkembang seiring ancaman keselamatan," ujarnya.
Labur dalam teknologi kepolisan
Bagi meningkatkan aspek pencegahan dan penguatkuasaan di kawasan berisiko jenayah, Ahmad Zahid berpandangan, kerajaan harus melabur dalam teknologi kepolisan moden.
Sebagai contoh ujarnya, Interpol dan AseanaPol kini telah menggunakan acuan dan peralatan terkini yang diintegrasikan untuk bekerja secara automatik.

“Saya yakin kepolisan moden tidak lagi harus meramaikan omnipresence anggota beruniform atau tidak beruniform di lokasi tertentu, sebaliknya lebih kepada (penggunaan) peralatan.
“Oleh itu kerajaan harus bertindak segera dalam memacu pencegahan dan penguatkuasaan.
“Walaupun kita yakin dengan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AseanaPol, namun penjenayah siber juga telah mempertingkatkan keupayaan mereka,” menurutnya.
AISSE’25 platform bincang inovasi bidang keselamatan
Sementara itu, Saifuddin dalam ucapannya memaklumkan, sebagai tuan rumah Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia komited memajukan kerjasama serantau dan memperkukuh daya tahan dalam semua aspek penganjuran.
Beliau berkata, AISSE’25 bukan sahaja menjadi pembuka tirai kepada Sidang Kemuncak ASEAN, malah menjadi platform untuk menangani objektif penting, selaras visi ASEAN.
“Empat objektif terlibat ialah membina industri mampan dan pembangunan global serta meningkatkan daya saing dan daya tahan melalui teknologi,” katanya.
Selain itu ia turut melibatkan memupuk kerjasama serantau dalam ICT dan keselamatan siber serta memperkasa sumbangan global dan perkongsian antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!