KRU selitkan unsur AI dalam video muzik 'One More Time'

KRU meneruskan legasi muzik mereka sebagai penyanyi, komposer, penerbit tersohor tanah air dengan pelancaran single kedua dari album Kaset berjudul One More Time.
Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Norman, Yusry dan Edry mengekalkan DNA muzik R&B KRU era 1990-an yang masih menyengat sehingga kini, mengisahkan kekecewaan seorang insan yang sekali lagi gagal dalam percintaan dan hanya mampu bergembira dalam kesedihan melihat bekas kekasihnya hidup bahagia dengan orang lain.
“Sememangnya ini merupakan tradisi KRU mengeluarkan lagu balada selepas single pertama yang rancak. Ramai peminat kami menantikan lagu One More Time.
"Kami berharap lagu ini akan mendapat sambutan baik dari peminat sekaligus mengekalkan momentum pemasaran album Kaset apabila dikeluarkan tidak lama lagi,” ujar Norman mewakili KRU.
Bukan itu sahaja, KRU meneruskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk kembar digital mereka dalam video muzik One More Time.
Menariknya, melalui video muzik ini peminat berpeluang menyaksikan transformasi wajah KRU dari masa lalu, kini, dan masa depan, memberikan pengalaman emosi yang unik.
Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Sdn Bhd, Kenny Ong berkata, KRU sememangnya artis serba boleh bukan saja dari sudut nyanyian, penciptaan dan penerbitan lagu tetapi juga dalam penggunaan teknologi terkini bagi penceritaan sesebuah lagu melalui video muzik.
"Kami percaya video muzik One More Time akan memberi kesan yang mendalam kepada penonton malah lagu ini juga bakal menjadi salah satu lagu klasik KRU yang akan kekal relevan untuk puluhan tahun yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, KRU telah mengeluarkan single pertama dari album kaset berjudul Voodoo. Lagu tersebut telah mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja di Malaysia, tetapi turut mendapat sambutan hangat dari negara-negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.
Muzik video Voodoo di YouTube telah mencecah lebih 1.2 juta tontonan dalam tempoh singkat dan berjaya memikat pengikut baru KRU daripada generasi Alpha.
One More Time boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, dan YouTube Music.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


