ONE 170: Jojo tak gentar jumpa Panda Kick

DEBARAN kian terasa menjelang pertarungan tiga pusingan flyweight antara jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar dengan bintang Colombia, Johan Estupinan bagi aksi ONE 170 di Impact Arena, Bangkok, Thailand pada Jumaat ini.
Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo dalam misi memburu kemenangan ketujuh daripada lapan penampilan dalam ONE Championship.
Namun, misi tersebut tidak mudah kerana petarung berusia 18 tahun dari Sarawak itu bakal merasai tumbukan padu Estupinan yang memiliki rekod kemenangan 100 peratus.
Estupinan, 22, yang diberi julukan Panda Kick memegang rekod sempurna 26-0, turut mencipta nama sebagai bintang muda berbisa dengan empat kemenangan berturut-turut di pentas ONE Championship, termasuk tiga kemenangan knock out (KO).
Pun begitu, Johan berkata, dia sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi Estupinan.
“Estupinan pantas, mempunyai daya tahan yang baik dan sangat tidak ortodoks berbanding petarung lain.
“Dia juga mempunyai tumbukan padu. Tapi seperti pertarungan yang lain, saya akan mencari peluang untuk KO,” ujar petarung yang mewakili Rentap Muaythai Gym itu.
Dalam pertarungan terakhirnya di ONE Championship, Johan bangkit daripada kekalahan di tangan Nguyen Tran Duy Nhat dari Vietnam dengan kemenangan KO ke atas jaguh Mexico, Josue Cruz pada ONE 168: Denver di Ball Arena, Denver, Colorado, Amerika Syarikat, September lalu.
Kemenangan itu bukan sahaja memperbaiki rekodnya dalam ONE Championship kepada 6-1, malah Johan turut membawa pulang bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (kira-kira RM222,000).
Selain pertarungan Johan dengan Estupinan, ONE 170 juga bakal menyaksikan tiga pertarungan gelaran dunia yang dinanti-nantikan.
Ia membabitkan kategori featherweight antara Tawanchai PK Saenchai (juara) menentang Superbon; bantamweight antara Superlek Kiatmoo9 (juara) menentang Nico Carrillo dan MMA bantamweight membabitkan Fabricio Andrade (juara) menentang Kwon Won Il.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!