ONE 170: Kali ini bukan saya yang KO - Jojo

Johan Ghazali (kiri) akan berdepan Johan Estupinan dalam pertarungan flyweight muay thai di Impact Arena, Bangkok pada Jumaat ini. Foto Agensi
Johan Ghazali (kiri) akan berdepan Johan Estupinan dalam pertarungan flyweight muay thai di Impact Arena, Bangkok pada Jumaat ini. Foto Agensi
A
A
A

PETARUNG sensasi negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar berikrar memberikan persembahan bertenaga apabila berdepan Johan Estupinan bagi aksi ONE 170 di Impact Arena, Bangkok, Thailand pada Jumaat ini.

Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo dalam misi memburu kemenangan ketujuh daripada lapan penampilan dalam ONE Championship.

Mengulas pertembungan tiga pusingan flyweight tersebut, Johan, 18, mengakui Estupinan mempunyai kepantasan dan tumbukan yang mampu menghasilkan knockout (KO).

Namun, Johan yang mewakili Rentap Muaythai Gym berkata, dia sudah mempunyai perancangan rapi untuk mengejutkan bintang Colombia itu.

"Dia agresif dan pantas tapi dia sering terdedah kepada bahaya dalam setiap pertarungannya.

"Tumbukannya juga padu, tapi kali ini bukan saya KO.

"Sama seperti Estupinan, saya juga mencari peluang untuk menghasilkan KO," katanya pada sidang akhbar ONE 170 di Bangkok sebentar tadi.

Estupinan, 22, yang diberi julukan Panda Kick memegang rekod sempurna 26-0, turut mencipta nama sebagai bintang muda berbisa dengan empat kemenangan berturut-turut di pentas ONE Championship termasuk tiga kemenangan KO.

Artikel Berkaitan:

Aksi Johan menentang Estupinan bukan sekadar pertemuan antara dua bintang yang sedang meningkat naik tetapi juga pertemuan yang diinginkan bintang muay thai negara itu pada peringkat peribadi.

Johan mendedahkan bahawa Estupinan pernah mengalahkan abangnya, Elias di Kejohanan Dunia IFMA Muay Thai pada 2021 dan dia akan melakukan apa sahaja untuk membalas dendam atas kekalahan itu.

Johan dan Estupinan belum berada dalam kelompok lima terbaik flyweight tetapi kedua-duanya telah menunjukkan kemampuan luar biasa.

Dalam pertarungan terakhirnya di ONE Championship, Johan bangkit daripada kekalahan di tangan Nguyen Tran Duy Nhat dari Vietnam dengan kemenangan KO ke atas jaguh Mexico, Josue Cruz pada ONE 168: Denver di Ball Arena, Denver, Colorado, Amerika Syarikat, September lalu.

Kemenangan itu bukan sahaja memperbaiki rekodnya dalam ONE Championship kepada 6-1, malah Johan turut membawa pulang bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (kira-kira RM222,000).

Selain pertarungan Johan dengan Estupinan, ONE 170 juga bakal menyaksikan tiga pertarungan gelaran dunia yang dinanti-nantikan.

Ia membabitkan kategori featherweight antara Tawanchai PK Saenchai (juara) menentang Superbon; bantamweight antara Superlek Kiatmoo9 (juara) menentang Nico Carrillo dan MMA bantamweight membabitkan Fabricio Andrade (juara) menentang Kwon Won-il.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!