Penerbit USM mohon maaf, khilaf tentang sejarah wira Melayu

Hantaran di Facebook Penerbit USM pada Jumaat.
Hantaran di Facebook Penerbit USM pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) memohon maaf berhubung kekhilafan hantaran di media sosial berkenaan Kunlun, seorang wira Melayu yang dikatakan boleh terbang.

Kisah tersebut dinukilkan dalam buku Melayu Mahawangsa: Tanah Air, Sejarah, Kerajaan dan Peradabannya.

Menurut penerbit USM, pentadbir secara khilaf telah menulis 'Tapi ini bukan cerita dongeng; ini catatan sejarah' dalam hantaran pada Isnin lalu, sedangkan penulis buku telah menyatakan sumber penulisan topik adalah daripada gabungan sumber, termasuk kesusasteraan Cina klasik, teater dan filem dalam pendahuluan bab.

"Kami memohon maaf atas kekhilafan hantaran media sosial berkenaan Kunlun.

“Kami mengambil tanggungjawab atas kesilapan ini dan akan lebih berhati-hati dengan hantaran yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Legenda Kunlun yang Terbang: Wira Melayu pada zaman Dinasti Tang di China memaparkan Kunlun sebagai tokoh luar biasa dari Kepulauan Melayu yang tiba di China dan terkenal dengan kebolehan terbang yang ajaib.

Ia menceritakan bagaimana dia menyelamatkan seorang wanita bangsawan dari sebuah rumah yang terbakar dengan memanjat dinding tinggi dan melompat dari satu atap ke atap lain tanpa rasa takut.

Bakat luar biasa Kunlun dikhabarkan diguna dalam pelbagai misi berbahaya untuk golongan istana, termasuk mengintip musuh dan menyampaikan mesej penting di kawasan sukar.

Artikel Berkaitan:

Kemampuannya menjadi simbol keberanian dan kebijaksanaan orang Melayu walaupun berada di tanah asing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!