CRESS permudah projek tenaga solar - Rafizi

Rafizi (dua, kanan) dan Muhammad Sanusi (dua, kiri) selepas selesai mengadakan sesi libat urus RMK13 pada Isnin.
Rafizi (dua, kanan) dan Muhammad Sanusi (dua, kiri) selepas selesai mengadakan sesi libat urus RMK13 pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan telah mempermudahkan pembangunan projek tenaga solar menerusi Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bagi meningkatkan akses syarikat swasta khususnya dalam pembekalan elektrik hijau.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, dasar baharu tersebut membolehkan urusan hanya melibatkan dua pihak, iaitu pembekal dan pembeli tanpa terikat lagi pada dasar lama.

Menurutnya, mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri boleh membangunkan zon ekonomi baharu solar menerusi program berkenaan tanpa dibayangi karenah birokrasi.

“Dasar ini selaras dengan pelan peralihan tenaga negara, dari segi dasarnya telah diubah selepas kerajaan perkenalkan CRESS yang membolehkan membekal (menjual) atau mendapat (membeli) bekalan elektrik secara terus.

“Sebelum ini mungkin ada masalah kerana untuk ladang solar membekalkan tenaga elektrik kepada grid memerlukan kuota selain perlu tunggu projek Solar Berskala Besar (LSS) dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi libat urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi Negeri Kedah di Seri Mentaloon pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Rafizi berkata, kerajaan Persekutuan telah mempermudahkan keseluruhan proses tanpa birokrasi rumit dan kemudahan itu boleh akses di aplikasi di peringkat negeri.

“Kalau Kedah ada 500 ekar tanah dan ada syarikat mahu bangunkan ladang solar, tak perlu lesen atau perlu dapatkan kuota lagi, hanya perlu dapatkan pembeli dan penjual.

Artikel Berkaitan:

“Contohnya, pembeli dari Kulim High Tech Park (KHTP) yang perlukan tenaga hijau maka hanya perlu ada perjanjian antara dua pihak tersebut,” katanya.

Menurutnya, tertakluk kepada kerajaan negeri untuk menguruskan zon baharu solar kerana ia melibatkan penggunaan tanah yang juga bawah bidang kuasa negeri.

“Jika Kedah mahu bangunkan zon solar mereka yang perlu fikirkan akses tanah, dari segi premium, sama ada sewa atau sebagainya. Peranan Persekutuan dari segi jual beli dan sistem semuanya telah dipermudahkan,” jelasnya.

Rafizi turut memaklumkan, antara usaha Kementerian Ekonomi ialah memastikan projek Kedah Rubber City (KRC) memiliki ekosistem tersebut termasuk membekalkan solar di kawasan terlibat.

“Tidak ada halangan dan tidak memerlukan insentif di peringkat Persekutuan kerana urusan telah dipermudahkan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Muhammad Sanusi mencadangkan supaya diwujudkan satu zon ekonomi khas bagi pembangunan projek tenaga solar di Kedah dengan pelbagai pakej insentif khas yang boleh disediakan kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri percaya usaha ini dapat menyokong dan merealisasikan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Ia juga dengan mengambil kira kelebihan Kedah yang memiliki cahaya matahari antara yang tertinggi dalam negara, yang menjadi elemen terpenting dalam penjanaan tenaga solar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!