Akses bekalan elektrik hijau tarik pelaburan pusat data bernilai tinggi ke Malaysia

Akmal Nasrullah. Foto Bernama
Akmal Nasrullah. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akses kepada bekalan elektrik hijau merupakan antara syarat penting dalam menyediakan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk menarik pelaburan pusat data bernilai tinggi ke Malaysia.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, komitmen kerajaan khususnya kementeriannya bagi mencapai hasrat itu ialah dengan meningkatkan campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara daripada 28 peratus pada masa ini kepada 31 peratus pada tahun 2025.

Seterusnya, sasaran 40 peratus pada tahun 2035 dan 70 peratus menjelang tahun 2050, merupakan satu kelebihan dan faktor utama yang mendorong para pelabur membangunkan pusat data di Malaysia.

“Peningkatan kapasiti TBB secara berperingkat dan terancang merupakan langkah persediaan PETRA (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) dan Suruhanjaya Tenaga untuk memenuhi permintaan tenaga elektrik hijau yang diperlukan pusat-pusat data, selain menjadi salah satu syarat untuk menggalakkan pelaburan baharu yang bernilai tinggi ke negara ini.

“Program TBB sedia ada yang akan diteruskan dengan penambahbaikan, di samping memperkenalkan program TBB baharu bagi meningkatkan campuran TBB dalam pembekalan elektrik negara.

“Ini termasuk program Feed-in-Tariff (FiT), Large Scale Solar (LSS), Net Energy Metering (NEM), Self Consumption (Selco), New Enhanced Despatch Arrangement (NEDA), Corporate Green Power Program (CGPP),” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang bertanyakan kesediaan ekosistem bekalan tenaga awam dan swasta negara dalam membekalkan tenaga hijau untuk operasi pusat data di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Tambah Akmal Nasrullah, bagi membolehkan syarikat korporat mendapat akses kepada bekalan elektrik hijau yang lebih mudah secara terus daripada penjana TBB, kerajaan telah memperkenalkan Program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS).

“Program ini membolehkan syarikat korporat termasuk pusat data mendapatkan bekalan elektrik hijau secara terus daripada penjana TBB menerusi rangkaian grid utiliti.

“Aturan ini yang dibangunkan berdasarkan konsep grid terbuka akan membolehkan syarikat korporat yang mempunyai komitmen ESG mengenai penggunaan tenaga elektrik hijau berbuat demikian,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!