Peniaga liwat anak tiri kekal dipenjara sembilan tahun, tiga sebatan

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Isnin mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan terhadap seorang peniaga pasar malam kerana meliwat anak tirinya pada 2019.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk P Ravinthran menolak rayuan lelaki berusia 38 tahun itu, mengesahkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.
Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh turut bersidang bersama Hakim Ravinthran.
Mahkamah mengarahkan lelaki itu memulakan hukuman penjara hari ini.
Sebelum ini, dia dibenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuannya.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel itu, Hakim Ravinthran berkata, dakwaan bahawa bapa kandung mangsa mempunyai motif untuk mereka-reka bukti kerana mahu mendapatkan hak penjagaan mangsa adalah tidak munasabah.
Hakim Ravinthran juga berkata, tiada merit dalam hujah perayu mengenai percanggahan tarikh kejadian.
Beliau berkata, hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan adalah mencukupi dan tidak keterlaluan.
Pada 21 Februari 2023, Mahkamah Sesyen mendapati lelaki itu bersalah kerana melakukan hubungan seks bertentangan dengan hukum tabii terhadap mangsa, yang ketika itu berusia lapan tahun di sebuah rumah di Kuala Terengganu, Terengganu antara jam 12 tengah hari hingga 6 petang pada Disember 2019.
Rayuannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Januari 2024.
Menurut fakta kes, ibu bapa mangsa telah bercerai dan ibunya kemudian berkahwin dengan perayu. Mangsa dan kakaknya tinggal bersama pasangan berkenaan.
Bapa kandung mangsa membuat laporan polis pada 24 April 2020 selepas mangsa memberitahunya dia telah diliwat oleh perayu.
Pada prosiding hari ini, lelaki itu diwakili oleh peguam Ghazali Ismail manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari dan Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir mewakili pihak pendakwaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
