'Rumah dibina guna duit simpanan ditelan laut' - Penduduk

KUALA NERUS - Penduduk di Batu Rakit merayu bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan dan negeri berikutan masalah hakisan semakin meruncing di kawasan tersebut sehingga menjejaskan mereka yang tinggal berhampiran pantai.
Seorang penduduk, Zamri Sulong, 42, berkata, dia terpaksa melupakan hasrat untuk mendiami kediaman sendiri pada Hari Raya Aidilfitri nanti susulan tanahnya ditelan air laut baru-baru ini.
"Rumah yang dibina di tanah sendiri itu sudah siap 70 peratus, namun kini ia sudah tiada akibat tanah telah ditelan air laut disebabkan hakisan yang berlaku.
"Saya sangat sedih kerana bukan sahaja kehilangan rumah yang dibina menggunakan wang simpanan berjumlah RM30,000 malah kini tidak lagi mempunyai tanah sendiri kerana ia sudah ditelan air laut.

"Jadi saya mohon supaya masalah ini dapat diatasi dengan segera selain pihak kerajaan menghulurkan bantuan kewangan kepada kami terutama penduduk yang kehilangan rumah akibat bencana tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog penduduk bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit di sini pada Isnin.
Sementara itu, seorang nelayan, Azmi Awang Ngah, 64, berkata, pengkalan nelayan di Batu Rakit sudah musnah akibat hakisan yang berlaku menyebabkan ramai nelayan terjejas sehingga terpaksa mengalihkan bot lebih jauh dari gigi pantai.
"Kini saya hanya bergantung bantuan nelayan sebanyak RM300 sebulan sebab nak turun ke laut dengan keadaan sekarang memang keadaan tidak mengizinkan.
"Tiada pilihan lain saya terpaksa bawa not balik ke rumah kerana pengkalan nelayan sudah pun musnah selain terpaksa mencari pengkalan nelayan lain yang lebih jauh jika ingin turun ke laut.
"Kami berharap supaya pihak kerajaan segera menjalankan kerja pemulihan akibat hakisan tersebut kerana semakin hari keadaan bertambah buruk sehingga menjejaskan urusan penduduk untuk mencari rezeki," ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Mat Akhir Awang, 64, berharap masalah tersebut dapat diatasi dengan penyelesaian daripada kerajaan iaitu segera membina benteng penahan ombak bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.
"Aduan ini sudah lama dilaporkan penduduk kampung terhadap pihak berkaitan, namun tiada tindakan susulan diambil dan kini keadaan hakisan semakin serius.
"Sekiranya masalah ini tidak diambil sebarang tindakan maka lebih banyak lagi rumah, kedai dan tanah milik penduduk lenyap ditelan air laut akibat hakisan yang berlaku," jelasnya.
Sementara itu, bekas ADUN Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman menyatakan dialog tersebut diadakan atas permintaan penduduk di kawasan berkenaan bagi menyuarakan permasalahan dan cadangan daripada mereka berhubung masalah hakisan pantai yang berlaku.
Beliau berkata, masalah yang diadu itu serta beberapa cadangan untuk menangani masalah tersebut akan dibawa kepada pihak berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan kerajaan Persekutuan untuk tindakan lanjut.

"Antara tindakan diambil ialah kita akan bawa isu ini kepada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan peruntukan bagi membina benteng penahan ombak dalam usaha mengatasi masalah yang berlaku.
"Kita minta supaya kerajaan turut memberi bantuan segera kepada penduduk terkesan terutama mereka yang kehilangan rumah dan tanah.
"Selain itu mengenai masalah yang berlaku pada nelayan, kita minta supaya kerajaan mewujudkan pengkalan nelayan baharu bagi memudahkan mereka mencari rezeki berikutan pengkalan lama mereka sudah musnah akibat hakisan tersebut," jelasnya.
Masalah hakisan pantai berlaku menyebabkan dua jalan pantai iaitu Jalan Mengabang Telipot (berhampiran Warung Pok Nong) sepanjang 300 meter dan Jalani Pantai Kampung Tanjung Batu Rakit sepanjang 330 meter ditutup sepenuhnya terhadap semua kenderaan kerana berisiko runtuh.
Penduduk di kampung berdekatan terpaksa menggunakan laluan alternatif sementara menunggu kerja-kerja baik pulih dan jalan itu selamat digunakan.
Sebelum ini, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat memaklumkan kerajaan Terengganu telah menghantar permohonan peruntukan bagi membina tembok penahan ombak atau struktur 'rock revetment' sejauh 400 meter dengan lebar 1.5 meter dari bahu jalan sebagai pelindung pantai daripada hakisan.
Hanafiah berkata, peruntukan sebanyak RM600,000 itu meliputi kerja-kerja baik pulih jalan runtuh di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
