Ipoh dalam sajak

Majalah antarabangsa Time Out menyenaraikan Ipoh sebagai lokasi kelima terbaik daripada lapan bandar Asia yang wajar dikunjungi pada tahun 2025 kerana menyajikan gabungan antara sejarah, keindahan semula jadi dan variasi makanan yang menggoda selera.
Majalah antarabangsa Time Out menyenaraikan Ipoh sebagai lokasi kelima terbaik daripada lapan bandar Asia yang wajar dikunjungi pada tahun 2025 kerana menyajikan gabungan antara sejarah, keindahan semula jadi dan variasi makanan yang menggoda selera.
A
A
A

IPOH dikenali sebagai Bandar Raya Gunung kerana hampir sebahagian keluasan baratnya didindingi bukit batu kapur yang menjalar dari Simpang Pulai santak ke Gurap dengan menawarkan pemandangan unik di mata pelancong misalnya Gunung Lang, Cheroh dan Kledang.

Malah baru-baru ini sebuah majalah antarabangsa Time Out menyenaraikan Ipoh sebagai lokasi kelima terbaik daripada lapan bandar Asia yang wajar dikunjungi pada tahun 2025 kerana menyajikan gabungan antara sejarah, keindahan semula jadi dan variasi makanan yang menggoda selera.

Ipoh memiliki jenama unik selain terkenal dengan limau tambun, kacang menglembu, kacang putih dan mi rebus Ramli tetapi juga sedikit masa dahulu popular dengan ‘Bandar Bunga Kertas’ (Bougainvillea). Satu-satunya bandar raya bergunung-ganang di dunia, Ipoh mendapat nama daripada pohon upas atau nama saintifiknya, Antiaris toxicaria diterokai sekelompok peribumi bernama Kulup Kinta. Kata penyair TabirAlam; Antiaris toxicaria, pada nama lahirnya bandar raya bergelar erti Ipoh (hlm. 106) dalam antologi sajak Ipoh Bandar Raya Gunung (Karyawan Pk:2016).

Ipoh

Kuselak asalmu

Dari sepohon upas

Di tebing sungai

Kampung Melayu (hlm. 119)

Orang tua-tua dahulu mengenali pokok ipoh sebagai upas yang beracun. Getah pokok upas itu disebut ipoh yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli pada busur sumpitan. Ejaan asal bagi pokok ipoh ialah ipuh. Oleh kerana mudah disebut dengan ejaan ‘o’ lama kelamaan, ia menjadi sebati dengan sebutan Ipoh berasaskan pertukaran huruf konsonan ‘u’ kepada ‘o’.

Artikel Berkaitan:

Pembangunan Ipoh direka oleh Dato' Panglima Kinta Yusof. Penyair Tanjong Malim, Chai Loon Guan menyebut dalam sajaknya, ‘Dato’ Panglima Kinta Yusuf’ (hlm.24) bahawa Banjaran Kledang; Lembah Kinta; lubuk bijih; berwajah mewah, Ipoh; ibu kota timah Malaya; wawasan pelopor ulung; Dato’ Panglima Kinta Mohammad Yusuf; membangunkan tanah warisan; memajukan tanah impian.

Siapakah Dato’ Panglima Kinta Yusof? Chai Loon Guan menjelaskan; umarak kaya pembela nasib rakyat; pembina masjid indah-Masjid Panglima Kinta (masjid tengah); di antara Masjid Paloh (masjid lama); harta kekayaan diwariskan; menurut Enakmen Majlis Mesyuarat Negeri Perak 1904; sebelum dimajukan usahawan Cina, Yau Tet Shin; maka lahirlah Pekan Baru Ipoh 1907 (hlm.26). Dato’ Panglima Kinta Yusof ialah pembangun awal pekan Ipoh sebelum kedatangan pelombong berbangsa Inggeris dan Cina pada awal tahun 1920-an. Beliau dikenali juga sebagai arkitek pembangunan awal Ipoh!

Sebelum tahun 1880-an, Ipoh merupakan sebuah perkampungan Melayu di tebing Sungai Kinta yang dikenali dengan sebutan Epoh dan Paloh tercatat dalam peta British (1875). Kampung-kampung itu seperti Paloh, Ipoh dan Masjid Lama yang merupakan pangkalan pedagang lokasi melabuhkan perahu berurus-niaga di Sungai Kinta.

Antara barang dagangan mereka ialah bijih timah yang diperolehi melalui melampan dan mendulang. Kemudian apabila kedatangan orang Cina ke situ lalu mengelarkan kawasan perkampungan Melayu itu dengan menyebut Pa-Lo iaitu nama sejenis perangkap ikan kolam kecil. Di sini juga terletaknya, Kampung Kuchai, Kampung Ipo, Kampung Jawa, Kampung Pisang, Kampung Sugu dan Kampung Changkat sebelum pekan lama Ipoh terbentuk.

Akibat kedatangan Inggeris telah merubah wajah perkampungan Melayu itu dengan pembinaan beberapa buah bangunan reka bentuk Eropah dan Timur Jauh sebagai pejabat operasi lombong kapal korek bijih timah mereka.

Kini bangunan itu menjadi aset warisan menghiasi wajah Ipoh di mana-mana di pekan lama seperti tercatat dalam sajak berjudul, Ipoh (hlm.22) oleh Asmawati Shukor, penyair dari Hulu Bernam: Ipoh bawakan aku kembali; menelusuri pekan lamamu; sebalik artistik binaan stesen kereta api; bercirikan Islam dan reka bentuk Moorish; hingga digelar Taj Mahal manakala sajak, Ipoh Bandar Raya Ria (hlm.35) oleh DJ Dolasoh, penyair Terengganu, menghuraikan; stesen kereta api Ipoh; mempesona ibarat Taj Mahal; membilang cinta Shah Jahan; Gua Tempurung ada stalaktit stalagmit; pembentukan dari gua batu kapur; yang penuh menggamit Taman Rekreasi Gunung Lang; seronok bersantai di Taman Mini Jepun; ada kebun dan pohonan bambu; rehat yang mendamaikan.

Rencah-rencah sejarah juga terakam oleh Rusli Saludin dalam sajaknya, Ziarah Ipoh (hlm. 55). Cerita Rusli; Ipoh bandar raya warisan; bangunan kolonial; unik mengagumkan; Ipoh bandar raya ilmu; banyak sekolah ternama; pelajarnya harumkan negara malah disambung oleh Rizi S.S dalam sajaknya, Ipoh (hlm. 77) yang membariskan nama sekolah ternama itu seperti Sekolah Agama Izzudin Shah, Anderson School, Anglo Chinese School; Taayah; STAR; St. Michael’s Institution; Ungku Omar, IPG Kinta, QUIP dan UniKL RCMP.

Oleh kerana Ipoh terisi dengan ‘buah rindu yang unik’ maka anak kelahiran Ipoh, Mataadin dalam sajaknya, ‘Ipoh Sukma Jiwaku’ (hlm. 52) menyatakan harapannya; bandar ini sukma jiwaku; jangan kau hantar pawaka dan jentera lagi; kerana bandarmu masih kaya dengan wangian bilah-bilah; pohon haruman gunung batu kapur tersergam di puncak mata; jangan kuburkan bak logam timah ke dasar muara; dek kerana mengejar keuntungan dunia!

Namun begitu, pesimisme Yusof Najmi Othman terhadap Ipoh masa kini tertuang dalam sajak sinisnya bertajuk, Ipoh Bandar Raya Gunung (hlm.116). Katanya, mengimbau tahun tujuh puluhan; di Kampung Paloh malam minggu; berkumpul Melayu di Pasar Minggu; lalu meratah warisan; di Pekan Lama ini dibangunkan Little India yang tidak pernah dibanggakan; Cina di sekitar Concubine Lane dan Melayu entah ke mana! Memang pun pesimisme Yusof Najmi itu hampir berlaku di kebanyakan bandar di pantai barat Semenanjung seperti Melaka, Kuala Lumpur, Seremban malah George Town serta beberapa buah bandar lagi yang semakin lenyap jati dirinya.

Sebelum menoktahkan tulisan ini molek rasanya penulis memaparkan petikan sajak, Ipoh peristiwa tak termimpi (hlm. 122) pada rangkap akhir politik sejarah Ipoh terungkap begini;

Bandar Raya Ipoh

Engkau menitip pengalaman sebelas bulan

Dalam kandungan demokrasi jalanan

Aku lulusan sains politik

Sukar mentafsir demokrasi corak ini

Kerana tiada diajar di universitiku

Namun kusimpulkan;

Politik beginilah

Ada baju kadang-kadang tiada seluar

Ada seluar kadang-kadang tiada berbaju!

Begitulah Ipoh bandar raya gunung yang terakam dalam sebuah antologi sajak terbitan Persatuan Karyawan Perak pada 2016 yang telah empat kali dicetak sepanjang lapan tahun usianya.

*M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!