Pahang sasar bina 42 tadika tahfiz di setiap DUN - MB

SHAH ALAM - Kerajaan Pahang menyasarkan sebanyak 42 tadika tahfiz untuk dibina di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada 2018 hanya ada sebuah sahaja berbanding kini sebanyak 25 tadika tahfiz berjaya dibina.
“Kita akan buat di setiap DUN iaitu 42 tadika tahfiz. Kita akan buat dan siapkan dalam tempoh dua tahun ini.
“Menariknya silibus tadika tahfiz yang mana dari maahad tahfiz yang peroleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik di Malaysia akan digunakan di 4,000 Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi TownHall Rakyat di Dewan Karangkraf pada Jumaat.

Pada masa sama, Wan Rosdy memberitahu, pihaknya merancang pembinaan sebanyak 37 masjid sepanjang tujuh tahun beliau menjadi Menteri Besar.
Katanya, 18 masjid siap dibina manakala 13 lagi dalam pembinaan dan selebihnya akan dibina.
Pada masa sama, beliau berkongsi inisiatif Pahang kepada rakyatnya adalah dengan menyalurkan wang perbelanjaan kepada jemaah haji sebanyak RM750 bagi setiap individu dan memberi sebanyak RM300 kepada mereka yang berkahwin buat kali pertama.
“Apabila mendengar penerangan sebegini, baru mereka mendapat maklumat yang tepat bahawa bahawa tuduhan kerajaan Pahang tidak islamik dan sekular adalah tidak tepat.
“Saya sendiri dalam ucapan pernah mencabar negeri-negeri yang kononnya tidak dipimpin oleh kerajaan seperti di Pahang supaya mereka jawab, ada tak yang dilakukan negeri ini...mereka (pemimpin bukan negeri Pahang) buat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
