ECRL dijangka beroperasi awal - MB Pahang

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dijangka boleh beroperasi lebih awal iaitu November 2026 berbanding awal tahun 2027.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
"Rakyat akan hadapi kesesakan lalu lintas untuk tiga kali musim perayaan lagi sebab ECRL siap menjelang akhir tahun 2026 dan beroperasi awal 2027.
"Tapi yang terkini, saya dapat maklum balas daripada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak), kemungkinan boleh siap awal...mungkin boleh beroperasi pada November atau Disember 2026," katanya ketika sesi TownHall Rakyat di Dewan Karangkraf di sini pada Jumaat.
Pada Rabu, Darwis dilapor berkata, kerja pemasangan landasan sepanjang 400 kilometer (km) bagi projek ECRL bagi jajaran utama dari Maran, Pahang hingga ke Kota Bharu, siap lebih awal daripada dijadualkan.
Katanya, pencapaian itu menunjukkan pasukan terbabit dengan projek mega berkenaan berada di landasan baik.
Secara keseluruhan ujarnya, projek ECRL mencapai 77.39 peratus kemajuan setakat Disember lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan bakal beroperasi pada Januari 2027.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, pihaknya telah memanggil AFA PRIME Berhad untuk membentangkan usaha-usaha jangka pendek bagi mengatasi kesesakan yang berlaku khususnya di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur.
"Antaranya mereka menyatakan tidak akan baiki jalan waktu sesak dan menggunakan anggota keselamatan untuk menyuraikan trafik jika berlaku kesesakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!