Lelaki lemas kereta terbabas masuk parit

MUAR - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terbalik di dalam parit di Parit Limbong, Parit Jawa di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 2.10 petang.
Menurutnya, siasatan mendapati kereta jenis Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan dari Sri Tanjung menuju ke Parit Jawa.
“Ketika tiba di lokasi, kereta berkenaan telah terbabas hingga masuk ke dalam parit di bahu kanan jalan lalu terbalik.
"Orang awam dan polis di lokasi cuba membantu pemandu, namun dia disahkan sudah meninggal dunia oleh pembantu perubatan yang memberikan rawatan di lokasi kemalangan," katanya.
Difahamkan, pemandu tersebut dipercayai maut akibat lemas dalam parit berkenaan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 31 saat yang dikongsikan Malaysia Tribune memaparkan kejadian tersebut.
Menerusi rakaman tersebut, beberapa orang awam termasuk anggota polis berusaha membantu mangsa yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!