Tolak ekstremisme dalam beragama
Larangan lakukan secara berlebihan atau terkurang, kesederhanaan ialah jalan Islam sebenar

UNGKAPAN ‘Kami sahaja yang paling Islam’, ‘Hanya kami pendukung sunnah’ atau ‘Kami sahaja masuk syurga’ kerap kedengaran dalam kalangan masyarakat pada hari ini.
Ia jelas memperlihatkan betapa manusia itu sendiri bersikap mengagungkan diri mahupun puak tertentu. Semua itu mencerminkan sikap ketaasuban yang melampau.
Dari satu segi, sifat itu sebenarnya membentuk kelompok yang merasakan hanya mereka sahajalah benar, manakala apa yang dilakukan oleh orang lain pula dianggap sesat, batil, bahkan ada terus dilabel sebagai kufur.
Fenomena itu jelas menunjukkan betapa jauhnya sebilangan orang tersasar daripada prinsip keseimbangan yang dianjurkan oleh Islam.
Ketahuilah bahawa sikap melampau adalah ujian daripada ALLAH SWT ke atas masyarakat. Demikian jelas teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Mufti Pahang pada Jumaat lalu.

Ia sebagaimana disebutkan menerusi firman ALLAH SWT dalam ayat ke-77 surah al-Maidah.
“Ayat ini diturunkan sebagai teguran kepada ahli kitab yang terlalu melampau menghormati nabi mereka hingga disembah sebagai Tuhan.
“Apabila ditegur agar kembali ke pangkal jalan, mereka secara keras menolak dan sanggup melakukan tindakan yang melampau (ekstrem),” katanya sebagaimana dipetik menerusi teks khutbah bertajuk Ekstremisme atau Ketaasuban.
Hakikatnya, Jabatan Mufti Pahang menjelaskan, umat Nabi Muhammad SAW disifatkan sebagai ummatan wasatan iaitu umat yang terpilih atau terbaik.
Menurutnya, Ibnu Kathir menyebut bahawa kalimah wasatan merujuk kepada umat terbaik, manakala Ibnu Jarir At-Tabari menjelaskan, ia bermaksud sebaik-baik perkara adalah pertengahan.
“Mengertilah, melakukan sesuatu secara berlebih-lebihan adalah melampau, manakala kurang melaksanakannya pula adalah kecuaian dan kedua-duanya dikeji dalam agama.
“Begitu juga sekiranya umat Islam gagal untuk menjadi ummatan wasatan, maka lahirlah sikap melampau atau ekstrem dan berkembangnya kejahilan dalam masyarakat,” ungkapnya.

Bertentangan ajaran Islam
Lama-kelamaan sikap melampau atau ekstremisme itu mula ‘berakar’ dalam kepercayaan atau pegangan hinggakan seseorang begitu taasub dan fanatik terhadap sesuatu.
Jelas khatib, sikap itu akhirnya menyebabkan kelompok yang terjebak mula yakin bahawa hanya diri mereka sahaja betul, manakala yang lain pula salah.
Semua itu mencetuskan kepada perlakukan ekstrem dalam beragama yang jelas bertentangan dengan apa yang diajarkan oleh Islam.
Terdapat tiga sebab utama yang mencetuskan perlakuan tersebut iaitu:
i. Mentafsirkan nas-nas syarak mengikut hawa nafsu dan akal masing-masing.
ii. Bergantung kepada sumber yang tidak berautoriti atau tidak muktabar.
iii. Mencari pengaruh untuk kepentingan tertentu dan menurut hawa nafsu.
Andai tidak dibendung, khatib mengingatkan, ia bukan sahaja menatijahkan kepada kerosakan akidah, tetapi juga menyebabkan saudara seagama sendiri dicemuh, dijatuhkan, dizalimi dan lain-lain.
Lebih memilukan apabila terdapat jenazah Muslim tidak disolatkan dan paling parah jika darah seorang Muslim dianggap halal untuk ditumpahkan.
“Puncanya bermula dengan sikap suka melabel rakan seakidah mereka dengan panggilan munafik, ahli bidaah mahupun khawarij gara-gara berbeza perkara furu’ (cabang) dalam agama.
“Akhirnya sikap melampau itu membawa kepada budaya takfiri iaitu terlalu bermudah-mudah untuk mengkafirkan atau menyesatkan orang lain,” tegasnya.

Ingatlah, Islam sama sekali menolak segala gerakan yang menggugat keamanan dalam apa jua bentuk termasuk yang dibawa oleh pelampau agama.
Rasulullah SAW bersabda: “Dan jauhilah sikap melampau dalam beragama, sikap melampau dalam beragama telah membinasakan orang-orang sebelum kamu.” (Hadis Riwayat An-Nasa’i)
Cegah ekstremisme bersama
Sesungguhnya, gerakan pelampau agama tidak boleh dipandang enteng.
Jelas khatib, ia membabitkan masalah keselamatan rakyat hingga berupaya mengakibatkan keruntuhan sesebuah bangsa dan mencetuskan huru-hara di dalam negara andai tidak dibendung.
Bagi mencegah penyakit ketaasuban daripada terus membarah, Jabatan Mufti Pahang menegaskan perlunya usaha daripada semua peringkat masyarakat.
Di peringkat kerajaan pusat misalnya, satu Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Kebangsaan (MyPCVE) telah dibangunkan.
“Pelan itu adalah garis panduan utama dalam garis panduan utama dalam menyelaras peranan, strategi dan inisiatif oleh pelbagai sektor kerajaan, swasta, media massa, pendidikan dan pelbagai kategori kumpulan masyarakat.

“Ia menyasarkan untuk menangani ancaman fahaman pelampau keganasan melalui empat teras utama itu pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan pengukuhan.
“Dalam konteks negeri Pahang pula, kerajaan negeri menyeru supaya umat Islam sentiasa berpegang teguh dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah melalui manhaj Asyairah dan Maturidiyah, mengamalkan fiqah Mazhab Syafie dan mendalami tasawuf berdasarkan ajaran Imam Al-Ghazali dan Imam Junaid Al-Baghdadi,” katanya.
Pada masa sama, Jabatan Mufti Pahang juga menegaskan tentang kepentingan mematuhi fatwa yang telah diputuskan dan tidak mempertikaikan amalan yang dianggap khilaf dalam agama seperti membaca Yasin pada malam Jumaat dan tahlil untuk si mati sebagaimana fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.
Lantaran itu, khatib mengingatkan agar umat Islam sedar bahawa Islam ialah agama yang mudah, sederhana dan praktikal, sesuai dengan fitrah kejadian manusia serta mampu diamalkan dalam semua situasi, masa dan tempat.
“Jauhilah sikap ekstrem dan radikal yang hanya akan membawa kepada fitnah, kemudaratan dan kehancuran negara.
“Seperkara lagi, berpegang teguhlah kepada sumber berautoriti dan muktabar bagi mengelakkan diri terjerumus ke dalam ekstrimisme,” titip khatib.
*Teks khutbah disediakan Jabatan Mufti Pahang dan diterbitkan melalui laman web rasmi jabatan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!