Penduduk dua mukim bantah lantikan JPKKP

Penduduk yang berkumpul bagi melakukan bantahan aman pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
Penduduk yang berkumpul bagi melakukan bantahan aman pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
A
A
A

PASIR PUTEH - Lebih 100 penduduk di dua mukim Jerus dan Bukit Tanah di sini membantah pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) atau penghulu dari luar mukim yang juga bukan penduduk kampung berkenaan.

Seorang buruh, Sanusi Mohamad, 56, pelantikan penghulu yang dibuat setahun lalu pada Januari 2024 itu menyukarkan penduduk untuk melakukan urusan rasmi termasuk soal kebajikan, penyaluran bantuan atau sumbangan selain payah bagi mendapatkan cop pengesahan.

“Saya ada tujuh anak, empat mereka masih bersekolah dan banyak urusan yang memerlukan cop pengesahan penghulu.

“Tetapi, oleh sebab penghulu kali ini bukan dari kampung sama, jadi rumahnya juga ramai penduduk masih belum tahu di mana menyebabkan susah nak dapatkan cop pengesahan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Himpunan Bantahan Aman di Kampung Danan di sini pada Jumaat.

Menurut Sanusi, terdapat lebih 1,000 penduduk di Mukim Jerus membabitkan empat kampung, Jerus Danan, Dogol dan Tualang manakala lebih 4,000 penduduk di Mukim Bukit Tanah melibatkan Bukit Tanah A,B dan C.

Sementara, seorang buruh, Mohd Nasiruddin Sabki, 34, berkata, penduduk juga membuat satu laporan polis pada 30 November lalu berikutan kecewa atas pihak berkenaan yang didakwa lewat turun ke kawasan Kampung Danan yang dilanda banjir setinggi 0.8 meter pada gelombang pertama Monson Timur Laut lalu.

“Masalah sebegini yang kami tidak mahu kerana penduduk benar-benar memerlukan bantuan lebih-lebih lagi ketika ditimpa bencana.

“Keadaan sama juga berlaku apabila penghulu bukan orang tempatan, akan kurang pengetahuan tentang keadaan kampung, siapa ibu tunggal, asnaf dan sebagainya seterusnya menyukarkan bantuan disalurkan,” kata Mohd Nasiruddin

Artikel Berkaitan:

Justeru, warga emas, Mek Nab Dollah, 63, mahu penghulu dilantik dalam kalangan orang tempatan bagi memudahkan urusan penduduk kampung.

“Mereka ini perantara antara penduduk dan pemimpin di peringkat yang lebih tinggi.

“Jadi, lantikan dalam kalangan orang tempatan penting supaya sebarang permasalahan atau aduan kepada pihak-pihak yang berkuasa dan berkaitan terhadap sesuatu isu yang timbul sampai ke pihak terbabit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!