Ahli perniagaan didakwa dari China dikecam kritik sikap pekerja Melayu

SHAH ALAM - Gara-gara memuat naik klip mengkritik etika pekerja di Malaysia, seorang lelaki dipercayai ahli perniagaan berasal dari China dikritik hebat di media sosial.
Menurut laporan South China Morning Post, lelaki dalam video tersebut berkongsi pengalamannya mengambil kakitangan daripada majoriti Melayu di Malaysia.
Lelaki terbabit mendakwa pekerja Melayu sering mengambil cuti dengan alasan ahli keluarga meninggal dunia, sakit atau terlibat dengan kemalangan.
Dia juga mendakwa hasil kerja pekerja Melayu sering tidak memuaskan walaupun mereka mengikut arahan.
Katanya, ramai usahawan dari China menghadapi masalah sama apabila mencari pekerja.
"Di Malaysia, ia jauh lebih sukar berbanding di negara mereka. Namun, jika anda mengambil pekerja Melayu, bersiaplah untuk pengalaman berbeza.
"Pertama, pekerja Melayu suka mengambil cuti. Jumlah cuti yang mereka minta kadang-kadang di luar jangkaan. Alasan mereka pula kadang-kadang tidak masuk akal seperti 'ibu saya, datuk, nenek, makcik, pakcik meninggal dunia, haiwan peliharaan sakit atau kemalangan.
"Kedua, mereka akan mengikut arahan anda, tetapi hasil kerja selalunya tidak memuaskan. Anda akan rasa putus asa!" katanya.
Dakwa lelaki berkenaan, pekerja Melayu tidak pandai menguruskan kewangan kerana suka berseronok dan kerap meminta pendahuluan.
"Mereka tidak suka bekerja lebih masa. Jangan harap mereka akan membuat OT, seumur hidup pun tidak akan berlaku.
"Pengurusan kewangan mereka lemah. Mereka akan membelanjakan gaji mereka dengan segera hingga sering tiada wang. Akhirnya mereka selalu meminta gaji lebih awal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!