Covid-19: Dua lagi individu pulih

Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua individu termasuk ibu mertua kepada kes pertama melibatkan lelaki tempatan telah disahkan pulih sepenuhnya daripada wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dua individu tersebut yang sebelum ini dirawat di Hospital Sungai Buloh telah dibenarkan pulang hari ini.

"Wanita berusia 64 tahun itu disahkan positif 9 Februari lalu manakala kes ke-18 melibatkan lelaki tempatan yang bekerja di Macau disahkan positif wabak itu pada 10 Februari," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, jumlah kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenar keluar adalah 15 kes.

"Setakat ini, hanya tujuh kes masih dirawat di hospital," katanya.

Tujuh kes tersebut masing-masing di tiga di Hospital Kuala Lumpur, dua di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, satu kes di Sultanah Maliha Langkawi, Kedah dan satu kes di Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata, tiada penambahan kes baharu dilaporkan.

"Alhamdulillah, ini adalah berita baik kepada kita," katanya

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut katanya, kes ke-13 dan kes ke-16 sudah tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Ujian saringan ulangan kali akan dilakukan dan sekiranya negatif mereka dibenarkan pulang," katanya.

Kes ke-13 merupakan adik kepada lelaki tempatan tersebut dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah manakala kes ke-16 melibatkan ibu kepada kes 19 yang juga merupakan pelancong Wuhan.

Pada perkembangan sama, KKM melancarkan khidmat kesihatan atas talian melalui platform platform telemedicine iaitu DoctorOnCall dengan kolaborasi kementerian.

"Dengan platform ini, orang awam boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Pakar Perubatan Keluarga (Family Medicine Specialist) atau pegawai perubatan KKM melalui perbualan atas talian," katanya.

Perkhidmatan itu boleh diakses secara percuma tiga bulan menerusi www.moh.gov.my.

Waktu khidmat nasihat bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari.