Sanusi dakwa ada cubaan pihak tertentu jual UniSHAMS

BALING - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa terdapat pihak tertentu yang pernah berhasrat untuk menjual Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) kepada pihak swasta sebelum ini.
Beliau berkata, pihak terbabit bercadang menjual universiti dimiliki kerajaan negeri itu berikutan gagal mentadbir dan menguruskannya dengan baik.
"Mereka itu buat ‘podcast’ bongkar sana sini, sedangkan mereka itu cuba hendak jual universiti ini.
"Cari orang hendak beli, hendak jual fakulti perubatan kerana tidak reti hendak tadbir universiti," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Kampung Sejahtera Negeri Kedah di Dewan Tuanku Haminah UniSHAMS di sini pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak berkenaan tidak seharusnya diberikan peluang memerintah Kedah berikutan cubaan menjual kampus sehebat universiti tersebut.
"Jangan bagi orang macam itu perintah negeri, kita hendak negeri ini jadi elok, jikalau kita ada satu pasukan yang nampak (sekarang) ini kemas, jangan gagah (cuba) cari yang lain," katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi memaklumkan, sebuah asrama baharu akan dibina untuk kemudahan pelajar UniSHAMS yang menelan kos dianggarkan sebanyak RM50 hingga RM60 juta.
Beliau berkata, asrama baharu berkenaan dijangka dapat menampung kapasiti antara 2,000 hingga 2,400 pelajar.
"Asrama yang sedia ada hanya mampu menampung 800 orang pelajar, menyebabkan ramai pelajar terpaksa menyewa di taman-taman perumahan sekitar universiti.
"Dengan pembinaan asrama baharu ini, kita dapat menyediakan lebih banyak pilihan tempat tinggal bagi anak-anak yang memilih untuk melanjutkan pelajaran di UniSHAMS," katanya.
Muhammad Sanusi berkata, pembinaan asrama baharu ini bukan sahaja akan melengkapkan kemudahan kampus tetapi juga diharapkan dapat menjadikan UniSHAM sebagai pilihan utama pelajar dalam dan luar negara.
"Kami yakin dengan adanya asrama yang baharu ini, UniSHAMS akan terus menarik minat pelajar dari dalam dan luar negara," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!