Lelaki Myanmar hina polis di TikTok didenda RM7,000

AMPANG - Tindakan seorang lelaki warga Myanmar mengaibkan dengan cara menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aplikasi TikTok mengundang padah apabila Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, menjatuhinya hukuman denda RM7,000.
Pekerja pusat cuci kereta, Ramzan Ali Noor Din, 38, dikenakan denda itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah semasa prosiding ditetapkan untuk serahan dokumen di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Pada 8 November tahun lalu, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan perpecahan keamanan, menerusi video di aplikasi sosial itu.
Dia didakwa melontarkan kata-kata kesat serta tuduhan tidak berasas untuk membangkitkan kemarahan terhadap pihak polis di Balai Polis Pandan Indah di sini pada jam 5 petang, 28 Oktober tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, semasa kejadian, semasa melayari aplikasi media sosial, seorang pengadu terlihat satu video berdurasi 45 saat, dimuat naik oleh tertuduh, menunjukkan dia mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun pihak polis.
Semasa prosiding, peguam, Wan Nur Afifah Che Bakar yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda pada kadar minimum.
“Dia bekerja di pusat cuci kereta dan menerima pendapatan sebanyak RM60 sehari, mengaku insaf atas perbuatan yang dilakukan malah ini merupakan kesalahan pertamanya,” kata peguam itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani berkata, video yang dimuat naik oleh tertuduh, telah mengaib dan mencemarkan nama baik PDRM.
“Saya mohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!