Dua wanita warga emas rugi lebih RM300,000 angkara 'phone scam'

KUANTAN - Dua wanita warga emas dari daerah Pekan dan Bentong berputih mata apabila mengalami kerugian RM327,829 selepas terpedaya dengan penipuan panggilan telefon.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes pertama membabitkan peneroka Felda berusia 66 tahun menerima panggilan telefon daripada individu menyamar pegawai polis pada 3 Januari.
Menurutnya, mangsa dimaklumkan oleh suspek bahawa terdapat aduan atas nombor telefon yang digunakannya, selain mempunyai barang terlarang dan terlibat dengan pengubahan wang haram serta waran tangkap sudah dikeluarkan terhadapnya.
"Mangsa turut diarahkan untuk meletakkan kad mesin pengeluaran automatik (ATM) miliknya di lokasi yang diberikan setelah memasukkan semua wang dalam akaun tersebut bagi tujuan siasatan.
"Percaya dan takut dengan ugutan tersebut, mangsa mengikut semua arahan suspek sehingga memindahkan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) RM83,000, simpanan Tabung Haji RM 51,000 dan hasil jualan barang kemas RM 24,733 ke dalam akaun tersebut.
"Malah, wang dalam akaun mangsa juga sebanyak RM 57,44288 turut lesap," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Yahaya berkata, mangsa dikatakan gagal mendapatkan semula kesemua wang simpanannya berjumlah RM216,175.88 selepas tujuh hari tempoh siasatan bermula.
"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan apabila menyedari telah ditipu," katanya.
Dalam kejadian lain, Yahaya berkata, pada Selasa pesara guru berumur 62 tahun telah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada nombor telefon yang tidak ketahui.
Jelasnya, mangsa dimaklumkan terdapat tunggakan membabitkan kad kredit dari sebuah bank dan meminta menghubungi nombor telefon yang diberi untuk membuat pengesahan.
Beliau menambah, suspek memaklumkan bahawa mangsa kononnya telah memohon satu kad kredit dan melakukan perbelanjaan berjumlah RM4,778.
"Mangsa menafikan dakwaan tersebut, namun diarahkan untuk menghubungi nombor telefon pegawai Bank Negara Malaysia.
"Mangsa kemudian diminta membuat pindahan wang ke akaun pihak ketiga," katanya.
Menurut beliau, mangsa yang terpedaya dengan arahan itu telah membuat 17 transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank yang diberikan atas alasan kononnya untuk tujuan siasatan.
"Akibatnya, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM111,653.48 dan wang yang hilang adalah daripada simpanan peribadi dan wang ganjaran pencennya.
"Mangsa membuat laporan polis setelah menyedari dirinya ditipu," katanya.
Sehubungan dengan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak Polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

