Buat tempahan katering tapi majlis tidak wujud

Faizan (gambar kecil) memberikan peringatan kepada pengusaha katering agar tidak terpedaya dengan taktik penipuan terbaharu. Gambar hiasan.
Faizan (gambar kecil) memberikan peringatan kepada pengusaha katering agar tidak terpedaya dengan taktik penipuan terbaharu. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengusaha syarikat katering yang menerima tempahan makanan dan minuman untuk majlis dan acara diminta berhati-hati dengan modus operandi sindiket penipuan terbaharu.

Mendedahkan perkara itu, pemilik syarikat katering, Faizan Dasuki berkata, sindiket penipuan atau scammer berkenaan akan menghubungi syarikat untuk membuat tempahan.

Menurutnya, tempahan majlis makan malam yang dibuat tidak besar, lazimnya untuk dihadiri oleh 80 hingga 100 orang sahaja.

“Scammer ini akan berurusan menerusi Whatsapp terlebih dahulu. Bila kita setuju terima tempahan, mereka akan bagi butiran tempahan dengan bayaran yang lumayan.

“Butiran ini macam hendak lantik syarikat katering, kemudian mereka (scammer) akan minta sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan akaun bank serta dokumen lain untuk buat e-Perolehan.

“Kemudian pesanan kerajaan (LO) dihantar dalam bentuk PDF untuk kita cop dan tandatangan,” katanya menerusi TikTok baru-baru ini.

Jelasnya, bila syarikat katering kembalikan dokumen yang sudah lengkap itu bermakna umpan sindiket sudah berjaya.

Faizan berkata, scammer berkenaan licik hinggakan mangsa langsung tidak sedar sudah memasuki perangkap.

Artikel Berkaitan:

“Lazimnya dalam banyak kes, beberapa jam sebelum tempahan makanan dihantar ke lokasi, scammer ini akan menghubungi sekali lagi kononnya mahu menambah tempahan.

“Selepas itu mereka maklumkan pula mahu membuat tempahan ‘doorgift’ untuk diberikan kepada tetamu yang hadir.

“Kos doorgift katering kena bayar dulu kepada pembekal sebelum dihantar kepada pelanggan dan kita sebagai katering akan buat tuntutan bayaran dalam invois yang disekalikan dengan jumlah kos tempahan makanan dan boleh dapat untung lebih,” katanya.

Dakwanya, pembekal doogift itu adalah anggota scammer juga.

"Harga doorgift untuk seorang tetamu bernilai RM50 dan biasanya jumlah bayaran dikenakan untuk doorgift sahaja sudah cecah RM10,000.

“Kalau kita tamak dan terus bayar kepada pembekal (scammer) kerana yakin boleh tuntut lebih bayaran dengan pelanggan, kita silap.

"Bila kita hantar tempahan ke lokasi atau dewan yang dijanjikan rupa-rupanya majlis itu tidak wujud, tidak ada siapa yang terima tempahan itu, LO juga palsu dan ketika itu barulah kita sedar sudah ditipu,” katanya.

Tambahnya, jika pengusaha katering menerima tempahan majlis makan malam perlu disemak dengan teliti jika ianya hendak dibayar menggunakan LO, pastikan LO itu dibuat menerusi pelawaan sistem e-Perolehan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!