Bahaya besar menanti kanak-kanak di alam siber

SHAH ALAM - Keselamatan dalam talian tidak boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi melibatkan pengguna daripada kumpulan rentan seperti kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Jika menelusuri implikasi yang diterima golongan kanak-kanak, ia boleh menyebabkan gangguan kemenjadian mereka sebagai seorang murid.
Perkara tersebut dapat dikukuhkan menerusi kenyataan dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menyatakan lebih daripada tiga kanak-kanak di 30 negara berdepan masalah buli siber sehingga satu daripada lima ponteng sekolah kerananya.
UNICEF turut melaporkan 80 peratus kanak-kanak di 25 negara berasa tidak selamat dengan gangguan seksual atau eksploitasi dalam talian.
Pada masa sama, pertubuhan berkenaan juga memberitahu berjuta kanak-kanak terdedah kepada risiko bahaya apabila mereka semakin bergerak ke arah perhubungan secara dalam talian sewaktu pandemik Covid-19 melanda dunia.
Menurut penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abd Rahim, pendekatan diambil kerajaan berhubung perlesenan media sosial, amat bertepatan dengan situasi terkini.

Beliau berkata, jika hal tersebut tidak lakukan segera maka kadar keselamatan membabitkan golongan rentan khususnya kanak-kanak akan semakin meningkat.
Menurutnya, walaupun tiada data kes nyata menunjukkan bilangan kanak-kanak terlibat dengan gangguan seksual dalam talian di Malaysia, namun kita tidak boleh menidakkan perkara itu berlaku.
“Saya yakin, hal sedemikian ada berlaku tetapi mungkin disebabkan rasa malu membelenggu maka ibu bapa kanak-kanak berkenaan enggan melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Oleh itu, saya berpendapat bahawa perkara ini perlu dibendung segera. Jangan sampai Malaysia menjadi salah satu negara yang terlibat dengan gangguan seksual kanak-kanak seperti dinyatakan UNICEF,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat.
Dalam pada itu, Shahul Hamid turut menegaskan tentang kepentingan perlesenan media sosial dalam menjaga keharmonian negara daripada terdedah dengan isu berkenaan agama, raja dan kaum (3R).
Jelas beliau, tindakan yang dilakukan kerajaan bukan untuk menyekat kebebasan bersuara sebaliknya mahu mewujudkan suasana selamat untuk rakyat.
“Namun, segala tindakan yang dilakukan kerajaan memerlukan penguatkuasaan yang tegas. Jika lemah, segala pendekatan dilakukan ini akan menjadi sia-sia,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye turut menyatakan bahawa era digital yang semakin berkembang pesat telah memicu kepada kewujudan masalah kritikal seperti penipuan dalam talian, buli siber, kecurian identiti dan sebagainya.

Katanya, penipuan dalam talian telah menjadi wabak yang semakin meruncing di Malaysia dengan kerugian mencecah kira-kira RM54 bilion setahun, bersamaan tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Bukan itu sahaja, buli siber melalui platform media sosial dan aplikasi pesanan segera menyebabkan tekanan emosi dan psikologi kepada mangsa, terutamanya dalam kalangan remaja.
“Seterusnya, diikuti dengan kecurian identiti yang mana maklumat peribadi dikongsi dalam talian tanpa kawalan boleh disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah,” katanya.
Justeru, beliau menuntut agar semua pihak bertindak proaktif bagi memastikan keselamatan siber dapat diperkukuhkan.
Reaksi

"Keselamatan dalam talian melibatkan kumpulan rentan perlu diberi perhatian oleh kerajaan bagi mengelakkan lebih ramai terjerumus dengan perkara tidak sepatutnya."- Pesara kerajaan, Normah Jaafar, 62

"Saya berharap dengan penguatkuasaan perlesenan media sosial, masyarakat dapat melayari internet dan membuat sebarang pembelian tanpa ada rasa keraguan penipuan." - Suri rumah, Nur Nisa Nasuha Abi Hussaini, 26

"Isu keselamatan dalam talian bukan melibatkan gangguan seksual, scammer dan kecurian identiti semata sebaliknya melibatkan sejahteraan negara daripada dibelenggu masalah 3R." - Pekerja swasta, Nizamuddin Salehuddin, 27

"Tindakan kerajaan untuk menguatkuasakan perlesenan media sosial amatlah wajar kerana kandungan dalam semua platform media sosial kini terlalu 'terbuka' dan mudah untuk mempengaruhi pengguna, terutama kanak-kanak yang masih belum boleh membezakan perkara baik dan buruk." - Pekerja swasta, Anis Adilah Abdul Halim, 27
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!