LZS peruntuk RM36.4 juta untuk bantuan sekolah

Mohd Sabirin (tiga dari kiri) bersama tetamu jemputan yang menghadiri Program Simbolik Agihan Bantuan Pendidikan Tahun 2025 LZS pada Khamis.
Mohd Sabirin (tiga dari kiri) bersama tetamu jemputan yang menghadiri Program Simbolik Agihan Bantuan Pendidikan Tahun 2025 LZS pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyak RM36.4 juta kepada asnaf fakir dan miskin serta mualaf di negeri ini bagi sesi persekolahan Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, agihan itu meliputi bantuan yuran dan kelengkapan peralatan persekolahan untuk setiap anak asnaf.

Menurutnya, bantuan yang diagihkan itu melibatkan seramai 1,119 kanak-kanak pra persekolahan, 33,117 murid Sekolah Kebangsaan (SK) dan 7,790 lagi murid Sekolah Rendah Agama (SRA).

"Penerima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Agama pula seramai 36,292 pelajar," katanya ketika ditemui pada Program Simbolik Agihan Bantuan Pendidikan Tahun 2025 LZS di sini pada Khamis.

Mohd Sabirin memberitahu, jumlah keseluruhan asnaf yang menerima bantuan itu berjumlah RM70,000.

Kata beliau, kadar minimum bagi bantuan yuran persekolahan yang diterima setiap penerima pula sebanyak RM100 seorang membabitkan penerima tadika dan pra sekolah.

"Sebanyak RM150 pula kepada SK dan SRA dan SMK dan Sekolah Menengah Agama mendapat kadar RM250 seorang," jelas beliau.

Beliau berkata, setiap penerima bantuan diwajibkan membeli sepasang pakaian seragam sekolah dan selebihnya bebas untuk membuat penebusan peralatan sekolah lain.

Artikel Berkaitan:

"Penebusan bagi bantuan kelengkapan peralatan persekolahan ini boleh dibuat bermula pada sabtu ini sehingga 17 April depan.

"Penerima bantuan di semua sembilan daerah boleh mengunjungi mana-mana pasar raya atau outlet yang telah ditetapkan LZS bagi membuat penebusan kelengkapan peralatan persekolahan berdasarkan kadar bantuan yang diterima," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!