Mahkamah benarkan pemohonan pesara kerajaan untuk pelarasan pencen

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Khamis membenarkan pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016, yang berkuat kuasa, mulai Januari 2022. Gambar hiasan
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Khamis membenarkan pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016, yang berkuat kuasa, mulai Januari 2022. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi pada Khamis membenarkan pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016, yang berkuat kuasa, mulai Januari 2022.

Ketika membenarkan semakan kehakiman oleh pesara penjawat awam, Aminah Ahmad, Hakim Datuk Amarjeet Singh mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan untuk membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan, bermula dari hari ini.

Peguam Persekutuan, M Kogilambigai yang mewakili responden, telah memohon secara lisan untuk penangguhan keputusan itu tetapi permohonan tersebut ditolak.

Bagaimanapun, hakim memerintahkan supaya beliau memfailkan permohonan bertulis untuk penangguhan, agar mahkamah dapat menetapkan tarikh untuk pendengaran.

Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar Negeri, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 12 Jan tahun lalu, atas kapasiti beliau sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam.

Aminah memohon perintah mandamus bagi memaksa responden mempercepatkan pelarasan pencen kepada jumlah yang layak mengikut formula yang terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA 1980) sebelum pindaan dibuat di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA 2013).

Aminah juga memohon perintah untuk responden membayar tunggakan pencen dalam tempoh 14 hari, selain perintah deklarasi yang menyatakan kegagalan membayar melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan. Bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenal berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.

Artikel Berkaitan:

Aminah pada mulanya gagal dalam kesnya di Mahkamah Tinggi pada 2020, namun membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan, yang membuat keputusan memihak kepadanya. Kerajaan dan Ketua Pengarah JPA pula mendapat kebenaran merayu pada 2022.

Pada 27 Jun 2023, Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pindaan pencen itu tidak sah, dan panel lima hakim menolak rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah JPA untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 29 Februari tahun lalu, mahkamah membenarkan wanita itu meneruskan semakan kehakiman selepas Jabatan Peguam Negara tidak membantah permohonan tersebut.

Sementara itu, Hakim Amarjeet dalam penghakimannya pada Khamis memutuskan bahawa pekeliling tersebut mempunyai kesan membuat semakan gaji bagi penjawat awam dan di bawah Akta Penyesuaian Pencen 1980, pesara kerajaan berhak mendapat pencen yang disesuaikan dengan semakan gaji mereka.

"Perintah mandamus diberikan untuk mewajibkan Ketua Pengarah JPA membuat penyesuaian yang diperlukan bagi tujuan pengiraan pencen bagi pesara yang layak.

"Memandangkan keputusan Mahkamah Persekutuan (yang menolak rayuan kerajaan dan JPA), pencen tertunggak perlu dibayar mulai Januari 2022 (tarikh keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Aminah) sehingga semakan gaji seterusnya.

"Bayaran tertunggak perlu dibayar kepada pesara yang layak dalam tempoh tiga bulan dari hari ini. Tiada perintah berkaitan kos," kata Amarjeet.

Aminah diwakili peguam Datuk Shukor Ahmad, Datuk Baljit Singh Sidhu, dan Gurpreet Singh. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!