Penganggur dipenjara 5 tahun, satu sebatan amang seksual adik tiri

SEREMBAN - Seorang penganggur dipenjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik tirinya berusia 11 tahun antara Ogos 2023 hingga Julai 2024.
Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh berusia 24 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira fakta kes dan rayuan dikemukakan tertuduh serta faktor kes yang merupakan kesalahan serius melibatkan kepentingan awam.
Mengikut tiga pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Kesalahan itu dilakukan antara pertengahan Ogos 2023 hingga Julai 2024 antara jam 8 malam hingga 10 malam di dua lokasi iaitu di sebuah rumah di Felda Palong 4 dan di Felda Palong 5, Jempol.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman penjara dari tarikh ditangkap.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni berkata, hubungan tertuduh dengan mangsa adalah adik-beradik tiri dan kesalahan dilakukannya adalah jenayah seksual yang serius.
"Mohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh yang kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan sama yang melibatkan adik kepada mangsa berusia enam tahun," katanya.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara dikenakan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 November 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


