Pegawai imigresen didakwa terima suapan RM5,100

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tujuh pertuduhan gagal melaporkan pemberian suapan berjumlah RM5,100 untuk membantu melepaskan warga asing daripada pemeriksaan, dua tahun lalu.
Mohd Rahmat Mat Yusoff, 47, yang memakai baju kemeja berwarna biru gelap itu membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
Mengikut tujuh pertuduhan, dia sebagai Pegawai Imigresen yang bertugas di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia didakwa diberi suapan wang berjumlah RM5,100 secara pemindahan dalam talian daripada akaun bank milik seorang lelaki ke akaun tertuduh.
Ia sebagai dorongan bagi membantu melepaskan warga asing daripada pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1 dan 2.
Bagaimanapun, bapa kepada tiga anak itu gagal melaporkan pemberian suapan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak polis.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Kompleks Perbadanan Putrajaya, Putrajaya antara 28 Jun dan 16 Ogos 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
“Ia termasuk syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sekali setiap dua bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga anak berusia antara 13 dan 18 tahun.
“Saya mohon mahkamah mengambil kira anak guam saya telah berkhidmat di jabatan tersebut hampir 25 tahun.
“Pihak pembelaan tidak membantah syarat-syarat tambahan yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 27 Februari depan untuk sebutan kes.
Ringkasan AI
- Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan gagal melaporkan suapan berjumlah RM5,100
- Mohd Rahmat Mat Yusoff didakwa menerima suapan untuk membantu melepaskan warga asing di KLIA
- Kesalahan dilakukan antara 28 Jun dan 16 Ogos 2024 di sebuah bank di Putrajaya
- Dicadangkan ikat jamin RM10,000 dan syarat tambahan termasuk melaporkan diri ke SPRM dan tidak mengganggu saksi
- Mahkamah menetapkan 27 Februari untuk sebutan kes
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

