RM12 bilion untuk perolehan aset, kelengkapan ATM - Khaled Nordin

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM12 bilion diperuntukkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tujuan perolehan aset dan kelengkapan untuk mempertingkatkan keupayaan pertahanan negara pada 2025.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara perolehan aset utama yang telah diluluskan pada tahun ini adalah meriam 105 milimeter Pack-Howitzer untuk Tentera Darat.
"'Surface to Surface Missile' (SSM) bagi kegunaan kapal KD Jebat milik Tentera Laut Diraja Malaysia dan tiga unit 'Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System' (MALE UAS)," katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2025 di Wisma Pereira ATM, di sini, pada Khamis.
Mohamed Khaled berkata, pihaknya turut memastikan perkembangan dan kemajuan pembinaan aset-aset penting mencapai kemajuan yang dijadualkan.
"Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1 yang disasarkan kemajuan penyiapannya mencapai 96.52 peratus.
"LCS1 kini telah memulakan Ujian Penerimaan Pelabuhan (HAT) dan Ujian Penerimaan Laut (SAT)," katanya.
Beliau berkata, LCS2, LCS3, LCS4 dan LCS5, masing-masing dijangka mencapai 86.61 peratus, 76.60 peratus, 65.05 peratus dan 48.72 peratus kemajuan.
"LCS2 juga telah diturunkan ke air dan sedang menjalani 'Setting To Work' (STW). LCS3 pula sedang dalam persiapan akhir untuk diturunkan ke air yang dirancang pada Januari 2026," katanya.
Mohamad Khaled berkata, bagi pembinaan kapal Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch Kedua pula, kemajuan kerja bagi ketiga-tiga kapal tersebut dijangka mencapai 13.8 peratus secara keseluruhannya pada Jun ini.
"LMSB2-1, LMSB2-2 dan LMSB2-3 masing-masing disasarkan mencapai 17.1 peratus, 13.9 peratus dan 10.4 peratus kemajuan," katanya.
Beliau berkata, pada masa yang sama, bagi pesawat FLIT-LCA KAI FA-50 Block 20 sedang mencapai status kemajuan sehingga 48 peratus buat masa ini.
"Kita akan memantau perkembangan ini secara teliti pada tahun ini. Mengikut perancangan, dua buah pesawat pertama akan diterima pada Oktober tahun depan.
"Selain itu, kita sedang mengusahakan perolehan Pesawat Ronda Maritim (Maritime Patrol Aircraft (MPA) untuk tujuan pengawasan kawasan maritim dan aset ini dijangka akan diterima pada bulan Jun dan September 2026," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
