Usia 70 tahun ke atas memandu, setuju atau tidak?

KEBELAKANGAN ini, banyak peristiwa kemalangan membabitkan warga emas berumur 70 tahun ke atas dan kesalahannya adalah berpunca daripada kecuaian diri sendiri.
Rata-rata, golongan tersebut dilihat semakin sukar untuk mengadaptasi perubahan dalam keupayaan fizikal, mental dan secara tidak langsung menambah risiko di jalan raya ataupun keadaan sekeliling.
Pada Isnin, gara-gara tersilap tekan minyak, sebuah kereta dipercayai dipandu oleh warga emas berusia 83 tahun, terlanggar motosikal yang diparkir menyebabkan dinding kaca berdekatan stesen minyak di Taman Jaya di Sungai Petani, runtuh.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya akan meneliti cadangan supaya warga emas berusia 65 tahun ke atas perlu menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan, sebelum memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM).
Rentetan itu, pelbagai maklum balas diterima berhubung isu tersebut yang menjadi perdebatan dalam kalangan rakyat sama ada warga emas berumur 70 tahun ke atas dibenarkan memandu atau tidak atas faktor keselamatan.
Ada yang menyokong dan sebaliknya, namun masing-masing mempunyai hujah seta pandangan tersendiri.
Persoalannya, adakah perkara tersebut wajar demi memastikan keselamatan di jalan raya atau sekadar satu bentuk diskriminasi berdasarkan usia?
--------------------------------------------------------
[SETUJU]
Kekurangan dalam faktor penglihatan dan pendengaran
Saya bersetuju sekiranya warga emas 70 tahun ke atas tidak dibenarkan memandu atas beberapa sebab, antaranya seperti faktor penglihatan dan pendengaran yang mempengaruhi kemampuan warga emas untuk memandu dengan selamat.
Saya berpendapat, ramai warga emas mengalami masalah penglihatan seperti rabun malam yang menyukarkan mereka untuk melihat dengan jelas, terutama pada malam hari atau dalam cuaca buruk.
Selain itu, pendengaran yang kurang jelas juga membuatkan mereka sukar untuk mendengar bunyi hon, siren atau isyarat penting di jalan raya.
Secara mudahnya, semua ini mengurangkan kemampuan golongan itu untuk memantau persekitaran dengan baik, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.
Bukan itu sahaja, saya juga ingin katakan yang faktor kesihatan lain seperti pekak atau penyakit jantung juga boleh menghalang mereka daripada bertindak pantas.
Semua faktor ini membuatkan mereka lebih berisiko terlibat dalam kemalangan, bukan sahaja membahayakan diri mereka, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.
- Pekerja swasta, Dhia Iwana Zulkafli, 26
Kurang fokus dan kecekapan mental
Saya berpendapat mereka yang lebih 70 tahun ke atas seeloknya tidak perlu memandu kerana mungkin kurang fokus dan kecekapan mental.
Saya tidak menafikan apabila seseorang itu semakin tua, kita berisiko untuk terlepas pandang isyarat jalan raya, perubahan dalam keadaan trafik atau kelajuan kenderaan lain.
Memandangkan umur saya juga sudah menjengah ke 60 tahun, saya akui dan amat memahami cabaran pemanduan zaman moden yang serba pantas serta penuh dengan gangguan.
Disebabkan itu, sesetengah daripada golongan tersebut merasa sukar untuk menyesuaikan diri dengan keperluan zaman sekarang tambah lagi keadaan jalan raya yang tidak berapa elok.
Jadi, untuk keselamatan mereka sendiri dan orang lain, larangan memandu bagi golongan warga emas berusia lebih 70 tahun boleh dianggap langkah yang wajar.
- Pesara, Muhamad Tahir Mat Taib, 60
[TIDAK SETUJU]
Kemampuan memandu berbeza antara individu
Saya sangat tidak setuju jika semua warga emas berusia 70 tahun ke atas dilarang memandu kerana kemampuan memandu mereka sebenarnya berbeza antara setiap individu.
Perlu diingatkan di sini, ada warga emas yang masih sihat, cergas dan mampu memandu dengan selamat tanpa masalah, jadi tidak semua orang mengalami kekurangan kemampuan apabila mencapai usia tersebut.
Saya berpendapat, menyamakan semua warga emas tidak boleh memandu hanya berdasarkan usia adalah tidak adil.
Sebagai contoh, kita lihat ramai warga emas yang masih boleh memandu dengan baik walaupun sudah berusia, seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau tetap aktif memandu.
Mengenakan larangan umum berdasarkan usia bermaksud mengabaikan hak individu untuk kekal bebas dan berdikari.
Ramai warga emas yang tinggal di kawasan luar bandar dan mereka bergantung pada kenderaan sendiri untuk menjalani kehidupan harian, seperti pergi ke pasar atau menghadiri janji temu perubatan.
Jadi saya rasa, adalah lebih adil untuk menilai kemampuan seseorang berdasarkan kesihatan dan keadaan fizikal secara individu dengan pemeriksaan berkala untuk memastikan mereka masih mampu memandu dengan selamat.
- Kakitangan kerajaan, Muhammad Iqbal Harraz Mohd Yaakub, 27
Miliki banyak pengalaman pemanduan
Saya percaya pengalaman memandu dimiliki oleh warga emas yang telah memandu selama bertahun-tahun sangat berharga, besar dan meluas.
Walaupun usia mereka mungkin membawa sedikit kekurangan dari segi keupayaan fizikal atau mental, pengalaman yang ada membolehkan mereka bertindak dengan berhati-hati dan lebih bijak dalam membuat keputusan.
Bagi saya, pengalaman ini merupakan faktor penting yang boleh membantu mengurangkan risiko kemalangan, walaupun mungkin ada sedikit kekurangan dalam kelajuan reaksi mereka.
Jadi, walaupun usia meningkat, kemahiran dan ketenangan warga emas di jalan raya tidak boleh dipandang ringan.
Seeloknya, kita sebagai pengguna jalan raya, tidak boleh menghukum golongan yang benar-benar berkemampuan untuk memandu.
Saya masih yakin pengalaman pemanduan yang lama itu menjadikan mereka lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru, sekali gus mengurangkan kemalangan disebabkan pemanduan agresif seperti yang sering berlaku pada anak muda zaman sekarang.
- Suri rumah, Sabariah Mat Taib, 53
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
