MY-UAE CEPA: Teroka potensi eksport pekerja mahir, promosi MM2H

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) ketika kunjungan hormat ke atas Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang juga Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi (ADNEC), pada Selasa. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) ketika kunjungan hormat ke atas Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang juga Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi (ADNEC), pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia perlu merebut peluang pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) dengan meneroka peluang mengeksport tenaga kerja berkemahiran tinggi dan separuh mahir ke negara-negara Timur Tengah.

Felo Kehormat Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma berkata, selain itu, sudah tiba masa untuk negara ini mengalihkan tumpuan promosi menjadikan Malaysia sebagai ‘rumah kedua’ warga asing di bawah program Malaysia My 2nd Home (MM2H), dalam kalangan negara Asia Timur terutama China kepada negara-negara Arab.

Jelasnya, di sebalik tumpuan perdagangan dua hala pada bidang teknologi bernilai tinggi termasuk teknologi hijau serta industri minyak dan gas, Malaysia mempunyai lambakan siswazah berkemahiran dalam pelbagai bidang perkhidmatan untuk dipasarkan ke luar negara terutama Timur Tengah.

“Fokus eksport tenaga kerja mahir ke negara-negara Arab tidaklah tertumpu kepada bidang pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) sebagaimana Bangladesh, Indonesia dan Filipina, tetapi kita ada kelebihan siswazah yang berkeupayaan berkhidmat dalam bidang perkhidmatan bernilai tinggi seperti jururawat, pengurus hotel, guru dan pensyarah.

“Pada masa sama, apa salahnya kita mengalihkan fokus program MM2H kepada warganegara Arab yang berpotensi berbanding sekadar tertumpu kepada pelancong China dan Korea Selatan.

“Kena ingat bahawa majoriti pelancong Arab yang datang melawat Malaysia sebenarnya berbelanja agak besar dan menetap di sini untuk suatu tempoh agak lama. Jadi tidak salah kita gunakan peluang itu untuk menawarkan program MM2H di lokasi bersesuaian dengan kehendak mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), lawatan pertama ke luar negara untuk 2025, telah memberikan hasil yang memberangsangkan dengan kejayaan mendapat kepercayaan kerajaan UAE dan syarikat besar dari negara teluk itu untuk menjalin kerjasama ekonomi dengan Malaysia.

Pencapaian utama ialah pemeteraian MY-UAE CEPA yang dijangka meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kejayaan memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) turut membuka ruang kepada perjanjian yang sama dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang lain iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Arab Saudi, malah dengan GCC itu sendiri.

Lawatan kerja selama tiga hari, yang bermula Ahad lepas merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE sejak Oktober 2023 dan lawatan pertama beliau ke luar negara selepas Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

Mengulas lanjut, Madeline turut mencadangkan pemeteraian MY-UAE CEPA ini membolehkan Malaysia sebagai peneraju ASEAN meneroka peluang perdagangan dan pelaburan baharu di Timur Tengah, di mana ia boleh dikongsi sesama negara ASEAN.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!