[VIDEO] Cikgu Fuad didakwa raba dua pelajar lelaki

A
A
A

MELAKA - Seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Rabu, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba kemaluan dua pelajar lelaki.

Tertuduh, Mohamad Fuad Abd Wahab, 33, membuat pengakuan itu sejurus kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah dan Hakim Haderiah Siri.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, dia didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki masing-masing berusia 16 tahun dengan cara meraba kemaluannya.

Kesalahan itu dilakukan di tiga lokasi berbeza sekitar Batu Berendam di sini, termasuk dalam bilik pengawas sebuah sekolah menengah, dalam kereta miliknya berdekatan stesen minyak dan di bilik sebuah rumah di Taman Sutera Wangi.

Mohamad Fuad (tengah) didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki.
Mohamad Fuad (tengah) didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki.

Tindakan itu didakwa berlaku antara kira-kira jam 8 pagi 1 November 2022 hingga sekitar 11.30 malam 18 September 2023.

Pendakwaan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama, memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azfar Mahmud dan Muhamad Ali Hussain masing-masing mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Muhammad Ali turut mencadangkan syarat tambahan lelaki itu tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan perlu melapor diri setiap awal bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Mohamad Fuad (tengah) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal.
Mohamad Fuad (tengah) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal.

Sementara itu, Peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi dalam prosiding masing-masing merayu denda minimum kerana anak guamnya yang bergaji rendah sebagai penjawat awam perlu menyara ibu bapa sedang sakit.

Anak guamnya juga telah berpindah ke sekolah lain dan tidak lagi berkomunikasi dengan pengadu selepas aduan kes dilaporkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 bagi kesemua lima pertuduhan dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan selain tertuduh perlu hadir pada setiap sebutan perbicaraan kes.

Mahkamah juga menetapkan tarikh 14 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!