Jakim, KPDN bekerjasama ambil tindakan pihak salah guna logo halal

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarahkan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan terhadap pihak yang menyalahgunakan logo halal.
Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, pihaknya tidak akan berkompromi dengan apa-apa isu yang melibatkan integriti dan kepentingan awam.
"Kami dukacita dengan kejadian yang berlaku di premis jualan runcit 24 jam yang terletak di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
"Tindakan segelintir pihak yang menyalahgunakan label logo halal pada produk adalah satu kesalahan yang serius," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas beliau, semua pihak juga diingatkan agar tidak menyalahgunakan label logo halal pada mana-mana produk yang dikeluarkan.
Tindakan menyalahgunakan label logo halal adalah suatu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
"Semua pihak adalah dimohon untuk sentiasa merujuk kepada Jakim dan pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri dalam isu-isu berkaitan halal," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!