Membina masyarakat adil

No Image Caption
A
A
A

BELANJAWAN Madani 2025 bermula dengan petikan daripada karya Aristotle yang berbunyi, 'The virtue of wealth is not to have it but to use it rightly' (Nicomachean Ethics, Book IV).

Memang benar, kekayaan semata-mata tidak memadai. Kerana kekayaan seharusnya dimanfaatkan sebagai sarana mencapai matlamat lebih luhur mencipta masyarakat adil yang seterusnya menjadi tonggak bagi merealisasikan cita murni negara bertamadun.

Justeru, matlamat ekonomi kita jelas: mencapai kemakmuran dengan keadilan sebagai landasan akhlak dalam seluruh dasar ekonomi negara. Ekonomi sepatutnya menzahirkan bukan melenyapkan nilai akhlak bangsa kita.

Demi masa depan negara, kita harus merencana dasar berlandaskan model ekonomi beretika, atau apa yang diungkapkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dulu sebagai model ekonomi manusiawi, agar segenap lapisan masyarakat dapat bersama-sama menyumbang kepada pembangunan bangsa dan mengecapi nikmat kemakmuran.

Dalam konteks Belanjawan Selangor 2025 pula telah saya kemukakan idea John Rawls, ‘Keadilan sebagai Kesaksamaan’, sebagai prinsip panduan dalam ikhtiar kerajaan negeri membina masyarakat yang adil.

Sebuah masyarakat adil harus mempunyai kerangka sosioekonomi yang memberi keutamaan kepada kesaksamaan, kebebasan asasi, dan keadaan hidup yang bermaruah bagi setiap anggota masyarakat.

Dengan kata lain, keadilan menuntut kesaksamaan dalam pengagihan kekayaan buat seluruh rakyat Selangor.

Kita harus akui bahawa sebahagian anak-anak dilahirkan dalam keluarga yang senang, mendapat makanan dan pakaian yang cukup, dan menikmati peluang pendidikan yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Sedangkan sebahagian lain pula dilahirkan miskin, tidak cukup makan pakai, tidak mendapat peluang pendidikan atau penjagaan kesihatan yang selayaknya.

Sebahagian mereka berjaya mengubah keadaan hidup mereka, tetapi kita tidak boleh menyangkal betapa sukar untuk keluar daripada kemiskinan.

No Image Caption

Kita akui bahawa semua ini ketentuan nasib: kita tidak bertanggungjawab dan tidak berhak memilih kelas sosial atau ekonomi ibu-bapa yang melahirkan kita.

Namun saya percaya, salah satu cara terbaik untuk kerajaan mencipta keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat adalah dengan berpaksikan pendidikan.

Justeru dalam Belanjawan Selangor 2025 kerajaan negeri telah memperuntuk sebanyak RM106.45 juta bagi tujuan pendidikan dan bantuan sekolah bagi memastikan pendidikan berkualiti dan peluang yang saksama untuk semua, RM12.5 juta bagi hadiah dan bantuan biasiswa pendidikan tinggi untuk anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah mencapai kecemerlangan akademik, RM17.25 juta bagi pendidikan kemahiran dan modal insan, dan sebanyak RM11 juta bagi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Suka saya sebutkan bahawa setelah beberapa tahun pelaksanaannya PTRS telah menunjukkan hasil yang membanggakan dalam membantu pelajar mencapai prestasi yang lebih baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Saya yakin inisiatif kerajaan ini sangat bermakna buat golongan pelajar tersebut.

*YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dilantik Menteri Besar Selangor sejak 2018

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!