NGO Melayu Islam hantar memorandum bantah cadangan jual saham MAHB Jumaat ini

Syed Hasan (tengah) pada sidang akhbar membantah penjualan saham MAHB kepada BlackRock pada Isnin
Syed Hasan (tengah) pada sidang akhbar membantah penjualan saham MAHB kepada BlackRock pada Isnin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam Malaysia akan menghantar memorandum membantah cadangan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikawal BlackRock.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali berkata, penyerahan memorandum ke ibu pejabat Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) itu akan diadakan pada Jumaat ini.

Menurutnya, memorandum sama turut akan diserahkan kepada beberapa pemegang saham MAHB lain yang didakwa dalam usaha melepaskan pegangan berkenaan.

Antaranya termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta MAHB sendiri.

"Kami melihat tidak ada keuntungan penjualan saham MAHB kepada syarikat asing dan kami kecewa apabila pencarum kita hilang hampir RM900 juta tak sampai beberapa bulan.

"Ini disebabkan kami dapat maklumat KWSP sendiri menjual saham MAHB dengan harga RM5.40 ke RM7.36 sesaham pada 2023 dan membeli semula dengan harga RM11," katanya pada sidang akhbar diadakan pada Isnin.

Turut hadir Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa.

Syed Hasan beranggapan, tindakan penjualan saham itu sebagai tindakan pelik selain yakin terdapat tangan ghaib terlibat dalam mempengaruhi keputusan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin ada tangan ghaib mengarahkan penjualan ini dan hairan perkara ini tidak bising ketika di bawah pemimpin Kerajaan Madani sekarang.

"Kalau berlaku ketika zaman pembangkang pasti kecoh. Ini perkara serius dan kita nak bagi tahu kepada pencarum, anda hilang banyak dividen dan sepatutnya mendapat dividen lebih tinggi berbanding yang diumumkan sebelum ini," katanya.

Dijangka serahan memorandum akan diadakan pada jam 11 pagi di ibu pejabat Khazanah di KL Sentral disusuli kepada beberapa agensi lain.

Dalam pada itu, Mohd Zai berkata, penjualan 30 peratus pegangan saham MAHB itu didakwa berjalan dengan kaedah sorok dan sembunyi.

"Sebenarnya penjualan saham ini merupakan penjualan aset strategik MAHB secara tidak langsung kepada syarikat luar.

"Sepatutnya kerajaan mengambil alih syarikat luar untuk menjadi milikan negara tetapi sekarang seolah kerajaan menjual aset atau kepentingan negara yang membawa untung kepada luar," katanya.

Jelasnya, penjualan saham tersebut kepada syarikat asing akan menyebabkan sebahagian keuntungan diperoleh MAHB itu akan dibawa keluar negara.

Tambahnya, keputusan itu juga akan mempengaruhi aset MAHB seperti 2,700 hektar di tanah di Sepang yang akan memberi manfaat kepada syarikat luar tersebut.

"Begitu juga dari segi polisi dan dasar, takkan BlackRock sekadar duduk saja dalam MAHB selepas beli ekuiti 30 peratus tersebut?

"Sudah pasti pengurusan tertinggi MAHB juga akan dikawal melalui polisi termasuk agihan tenaga kerja yang akan dikawal selain faktor keselamatan.

"Disebabkan itu kami NGO membantah keras usaha ini dan meminta KWSP, KWAP dan Khazanah membatalkan rundingan penjualan saham mereka kerana melihat ada agenda tersembunyi mengaut keuntungan melalui penjualan tersebut," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal memberi amaran bahawa isu tersebut akan terus dibangkitkan ke Dewan Rakyat sebaik tempoh penggantungan enam bulan terhadapnya tamat Februari ini.

Katanya, isu tersebut akan dibahaskan dengan pendekatan lebih berstrategi supaya Dewan Rakyat tidak mempunyai alasan untuk terus menggantungnya disebabkan isu berkenaan.

“Saya nampak skandal ini hampir ke penghujung dan kita akan buktikan apa yang diperjuangkan ini bukan satu fitnah tapi demi pertahan kedaulatan agama, bangsa dan dan tanah air.

“Saya akan lebih berstrategi dalam berbahas di Parlimen dan saya akan pastikan mereka akan betul-betul kena dengan apa yang saya sampaikan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!