'Bukan tergesa-gesa, hanya tujuh kategori' - Exco

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan menetapkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat mendapatkan Lesen Kekal Perniagaan di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah menolak dakwaan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Parlimen, Lee Chean Chung bahawa keputusan itu boleh menimbulkan implikasi negatif terhadap peniaga kecil termasuk peniaga Melayu.
Beliau menegaskan, syarat berkenaan hanya membabitkan tujuh kategori sahaja iaitu dapur hotel, premis di lapangan terbang, pusat beli-belah, kopitiam, restoran berantai, restoran makanan segera atau francais dan kedai kek, roti serta kilang perusahaan.
"Kesemua kategori yang disenaraikan itu diklasifikasikan sebagai perniagaan yang sangat kukuh dari segi kewangan dan tidak membabitkan peniaga kecil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan Chean Chung bahawa langkah mewajibkan pensijilan halal tergesa-gesa boleh memberi kesan kepada peniaga kecil dan perusahaan premis tunggal.
Jelas Hilmi lagi, syarat itu sudah lama ditetapkan sesuai dengan Kota Bharu yang sudah masuk tahun ke-20 sebagai bandar raya Islam.
"Perkara ini sudah lama cuma kita belum mewajibkannya. Sebelum ini Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan sudah melaksanakan kursus kepada semua usahawan.
"Kita tidak boleh kata tergesa-gesa kerana sudah ada taklimat berkaitan isu ini," katanya.
Tambah beliau lagi, kesemua tujuh kategori itu boleh meneruskan perniagaan tetapi di bawah lesen sementara yang boleh dipohon setiap tahun jika tiada sijil berkenaan.
"Jika lesen kekal boleh berniaga sehingga tempoh lima tahun sebelum lesen diperbaharui," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan Dan Ekonomi Parlimen, Lee Chean Chung mendakwa keputusan kerajaan Kelantan boleh menimbulkan implikasi negatif kepada peniaga.
Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, industri halal sepatutnya berkembang melalui kaedah dorongan dan bukan mewajibkan atau secara paksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!