Norhaeda tunggu kucing pulang di tapak rumah terbakar setiap hari

KOTA BHARU - "Boiboi...boiboi..."
Jerit Norhaeda Azahari, 51, apabila melihat salah seekor kucing yang disangka rentung dalam kebakaran melibatkan rumahnya pada Ahad lalu di Jalan Tok Guru di sini berlari ke arahnya pada Rabu.
Pengusaha dobi tersebut sentiasa berdoa agar ada di antara 80 kucing peliharaannya berjaya melarikan diri semasa kebakaran tempoh hari.
"Disebabkan itu setiap hari saya akan datang ke tapak kebakaran dan menunggu mereka dari pagi sampai ke malam.
"Hari Isnin, dua ekor yang pulang. Semalam seekor dan hari ini Boiboi yang pulang. Alhamdulillah Boiboi, Cik Ta, Bonda, Mama, Mr Bobby masih hidup," katanya dalam nada sebak apabila mengenangkan lebih 70 ekor kucing terbiar dipeliharanya rentung dalam kebakaran yang turut mengorbankan ibu angkatnya, Fatimah Mat Said, 89.
Terdahulu, Norhaeda menerima kunjungan daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan yang diwakili Pengarahnya, Yusnita Muhamed Yusoff.

Menurutnya, disebabkan kejadian tersebut dia hilang selera makan dan sehingga hari ini sukar untuk melelapkan mata apabila mengingat kembali kenangan bersama ibu angkat serta anak-anak bulusnya di rumah tersebut.
Menurutnya, sudah 30 tahun dia memelihara kucing terbiar yang dipungut dari kedai makan, hospital dan lain-lain kawasan.
"Setiap bulan saya membelanjakan sekitar RM2,000 untuk membeli makanan serta kos perubatan. Walaupun pendapatan saya hanya sekadar mengusahakan dobi secara kecil-kecilan dari rumah," katanya yang kini menumpang di rumah adik lelaki di Guchil Bayam di sini.
Sementara itu Yusnita memberitahu, pihaknya akan berbincang dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Yayasan Taqwa di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi mengemukakan cadangan untuk tujuan pembinaan rumah baharu untuk Norhaeda.
Menurut beliau pada lawatan tersebut, Yadim turut menyampaikan sumbangan ihsan berjumlah RM500.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Norhaeda hilang kata-kata selepas rumah nya terbakar sekali gus menyebabkan ibu angkat termasuk 70 ekor kucing serta lima anjing peliharaannya rentung dalam kejadian di Jalan Tok Guru di sini.
Menurutnya, semasa kejadian dia keluar ke Pengkalan Chepa kerana mempunyai urusan kerja sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon sekitar jam 6 petang memaklumkan tentang kebakaran terbabit.
Apabila Norhaeda sampai, dia lihat api sedang marak dan terkejut menerima khabar duka yang memaklumkan ibu angkat, Fatimah rentung kerana tidak sempat menyelamatkan diri.
Ujarnya, begitu juga 70 ekor kucing yang dipelihara dan berada dalam sangkar termasuk lima ekor anjing liar yang sering diberi makan serta berkeliaran di rumahnya.
Ringkasan AI
- Norhaeda Azahari kehilangan lebih 70 ekor kucing peliharaannya dalam kebakaran rumah di Jalan Tok Guru, Kota Bharu
- Norhaeda berdoa dan menunggu harapan kucing-kucing peliharaannya selamat dari kebakaran
- Norhaeda membelanjakan RM2,000 setiap bulan untuk membeli makanan dan kos perubatan kucing-kucing terbiar
- Kebakaran itu juga merenggut nyawa ibu angkat Norhaeda, Fatimah Mat Said
- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan dan badan-badan lain mempertimbangkan pembinaan rumah baru untuk Norhaeda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

