Budak 10 tahun kena dera, ditinggalkan di Pulau Tikus

David sedang bertanya kepada mangsa mengenai kejadian yang menimpanya. Keadaan luka di kaki dan tangan mangsa dipercayai ditekap dengan besi panas oleh ibu kandungnya.
David sedang bertanya kepada mangsa mengenai kejadian yang menimpanya. Keadaan luka di kaki dan tangan mangsa dipercayai ditekap dengan besi panas oleh ibu kandungnya.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun mengalami kecederaan pada kaki dan tangan tangan dipercayai didera ibu kandungnya.

Perkara itu terbongkar selepas seorang individu menjumpai kanak-kanak tersebut di kawasan Pulau Tikus di sini disyaki ditinggalkan ibunya.

Mangsa mengaku telah dipukul oleh ibunya selain ditekap besi panas pada badannya sehingga mengalami luka teruk.

Presiden Malaysian Tamilar Kural, David Marshel berkata, individu tersebut telah menghantar kanak-kanak malang itu ke sebuah rumah kebajikan di Kulim, Kedah namun ibunya telah membuat laporan polis tentang kehilangannya.

Menurutnya, polis berjaya mengesan kanak-kanak itu lalu menyerahkannya kembali kepada ibunya dengan keadaan lukanya dibalut.

"Saya dihubungi pengurusan rumah kebajikan tersebut dan menyatakan bahawa terdapat luka teruk pada kaki dan tangan mangsa dipercayai ditekap dengan besi panas. Saya kemudiannya menghubungi polis untuk mendapatkan alamat rumah ibu mangsa namun setelah sampai di lokasi, mangsa dipercayai dibawa lari oleh ibunya.

"Pada jam 11.30 malam tadi, saya mendapat maklumat bahawa mangsa dan ibunya sedang bersembunyi di sebuah rumah di Flat Machang Bubok, Bukit Mertajam. Saya memberikan maklumat tersebut kepada polis dan dengan ketangkasan pegawai bertugas, wanita tersebut berjaya ditahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan suspek.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek berusia 41 tahun berjaya ditahan di Machang Bubok, Bukit Mertajam namun suaminya yang merupakan bapa tiri mangsa masih dikesan.

"Wanita yang bekerja sebagai pencuci pinggan itu tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan air kencingnya negatif. Suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 24 Februari ini.

"Bagaimanapun, bapa tiri mangsa masih dikesan. Siasatan lanjut masih dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera," katanya.

Soffian berkata, dari keterangan mangsa, dia mengaku telah dipukul ibunya selain bapa tirinya mencederakannya menggunakan pisau yang dipanaskan.

Tambahnya, susulan daripada itu, mangsa mengalami luka pada tangan kanan dan kaki kirinya.

Minggu lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun mengalami luka di beberapa bahagian badan termasuk mukanya dipercayai didera ibu tirinya di Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh.

Mangsa diselamatkan selepas penduduk di perumahan tersebut curiga mendengar tangisan kanak-kanak perempuan berkenaan sejak seminggu lalu dan telah menghubungi David.

Ibu tirinya dan bapa kandung mangsa kini didakwa di mahkamah kerana kesalahan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN Setahun derita didera ibu tiri