Didenda RM9,000, tipu tuntutan gaji

MELAKA - Pengurus syarikat kawalan keselamatan didenda RM9,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan mengemukakan butir matan palsu bagi tuntutan gaji pengawal keselamatan syarikat itu.
Tertuduh, Zainal Abidin Za'abah, 56, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, dia didakwa menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Laporan Pengesahan Pelaksanaan Kunci Jam Watchman Clock Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di sekolah/institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia bagi zon Alor Gajah 11.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah, Jalan Kolam Air, Alor Gajah bagi tempoh dua minggu untuk setiap tarikh 1 hingga 15 setiap bulan antara Mei, Jun dan Ogos 2019.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 Kanun yang sama membawa kepada hukuman penjara selama tempoh hingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainudin memohon hukuman setimpal mengambil kira terlalu banyak kes melibatkan kemuka butiran palsu.
Bapa enam orang anak yang diwakili peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan merayu hukuman denda yang minimum dengan alasan mempunyai anak yang ramai dan masih kecil.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan beserta pemenjaraan tiga bulan sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!