Pahang catat peningkatan jenayah komersial 59 peratus

KUANTAN - Jenayah komersil di Pahang menunjukkan peningkatan 59 peratus melibatkan 2,263 kertas siasatan dengan nilai kerugian mangsa sebanyak RM95 juta sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sebanyak 1,776 tangkapan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dengan peningkatan 151 berbanding tahun sebelumnya.
"Kalau mengikut statistik kadar pertuduhan, sebanyak 929 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah dan daerah Kuantan mendominasi kadar pertuduhan iaitu sebanyak 292.
"Data-data ini menunjukkan JSJK Pahang mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) Pertuduhan yang ditetapkan oleh Pengarah JSJK iaitu 53.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulan Januari Tahun 2025 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Isnin.
Selain itu Yahaya berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik merekodkan 12,4666 kes dengan jumlah tangkapan sebanyak 13,814 atas pelbagai kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah pada tahun lalu.
Jelasnya, nilai rampasan dadah pula menunjukkan peningkatan sebanyak RM7 juta berbanding tahun 2023.
"Nilai sitaan harta berkaitan dadah pula dianggarkan sebanyak RM1.8 juta atau 40.2 peratus.
"Sebanyak 11,350 kes narkotik (95 peratus) juga berjaya diselesaikan," ujarnya.
Menyentuh mengenai kemalangan maut Yahaya memberitahu, sebanyak 419 kes direkodkan oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di negeri ini.
Katanya, jumlah terbabit menunjukkan penurunan sebanyak 25 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 6.9 peratus.
"Statistik yang dikeluarkan oleh JSPT Bukit Aman ini telah meletakkan kontinjen Pahang berada pada kedudukan kelima secera keseluruhannya," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!